Sabtu, 14 Jun 2014

Ciri-ciri dalam Penyelidikan Pendidikan

(A) Empirikal - Empirikal bermaksud kebergantungan kepada keputusan eksperimen atau pemerhatian sebelum membuat sesuatu keputusan. Penyelidikan dalam pendidikan dikatakan berbentuk empirikal kerana setiap data yang hendak digunakan oleh seseorang pengkaji dikutip melalui proses pemerhatian, pengalaman atau pengujian yang sebenar. Maknanya, data tersebut bukan “agakan” atau “tekaan” sebaliknya mempunyai bukti dan sering kali dikutip secara langsung daripada responden kajian. Apakah kaedah yang digunakan? Data kajian sebenarnya boleh dikutip melalui pelbagai kaedah. Contohnya, melalui soal selidik, pengkaji memerhati responden dalam situasi tertentu seperti bilik darjah, atau melalui analisis dokumen seperti melihat buku kedatangan murid dan rekod profil murid dengan menggunakan senarai semak yang telah disediakan. (B)Sistematik - Sistematik bermaksud mempunyai peraturan atau ketetapan tersendiri yang perlu diikuti atau dipatuhi. Penyelidikan dalam pendidikan pula dikatakan bersistematik kerana proses penyelidikan yang dirancang dan diurus dengan teliti serta mengikuti prosedur-prosedur tertentu. Kesemua ini adalah perlu untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan penyelidikan. Contohnya, sebelum pengkaji menjalankan kajian, hendaklah dia terlebih dahulu menyediakan “Proposal Kajian” atau dikenal sebagai “Cadangan Kajian”. Apabila proposal kajian diluluskan, baharulah baik untuk pengkaji meneruskan proses seterusnya seperti memohon kebenaran daripada pihak-pihak tertentu seperti EPRD, Jabatan Pendidikan Negeri dan guru besar sekolah terlibat. Pengkaji tidak boleh mendahulukan kerja-kerja mengutip data tanpa kebenaran pihak yang terlibat. (C)Langkah Logik Langkah logik bermaksud beberapa tindakan yang perlu diambil dan boleh diterima akal atau munasabah. Penyelidikan dalam pendidikan perlu mengikuti langkah-langkah logikal yang lazim digunakan. Biasanya, penyelidikan jenis ini akan bermula dengan proses mengenal pasti masalah dan diikuti dengan tinjauan literatur, pembentukan soalan kajian, pengumpulan data, penganalisisan data dan rumusan kajian. Hal ini diikuti dengan cadangan hipotesis untuk menerangkan sesuatu fenomena dan kemudian menjalankan langkah-langkah penyelidikan untuk menentukan sama ada hipotesis yang dicadangkan itu boleh diterima atau tidak. Penyelidikan juga dijalankan secara objektif iaitu semua dapatan berdasarkan bukti empirikal. (D) Kaedah Saintifik - Saintifik bermaksud penyelidikan dalam pendidikan dikatakan mengikuti kaedah atau prinsip sains iaitu satu ilmu pengetahuan yang sifatnya teratur dan boleh diuji atau dibuktikan kebenaranya. Contohnya, seseorang penyelidik yang memulakan kajiannya dengan berpegang kepada salah satu hipotesisnya iaitu masalah disiplin di sekolah semakin rumit disebabkan pengaruh media massa. Kemudian beliau akan menjalankan langkah seperti mengumpul data melalui soal selidik atau memerhatikan murid di beberapa buah sekolah untuk mengumpul data bagi menentukan sama ada hipotesisnya itu boleh diterima atau tidak.