Khamis, 16 Mei 2013

SEJARAH PENDIDIKAN PEMULIHAN DI MALAYSIA

Sejarah Pendidikan Pemulihan bermula di luar negara iaitu di Amerika selepas termaktubnya Public Law 94-142. Akta Pendidikan untuk kanak-kanak khas ini menjelaskan bahawa semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas wajib menerima pendidikan di sekolah-sekolah biasa dan sekolah khas. Pada tahun 1990, Public Law 94-142 diberi nama baharu iaitu IDEA (Individuals with Disabilities Education Act) dan diperluaskan. Melalui akta ini, pendidikan untuk semua dan pendemokrasian pendidikan diperkemaskan. Undang-undang ini menunjukkan betapa pentingnya kanak-kanak pemulihan dan berkeperluan khas diberikan perhatian. Antara yang ditekankan ialah; 1. Penyediaan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai kepada kanak berkeperluan khas. 2. Pendidikan untuk kanak-kanak khas dilaksanakan dalam persekitaran yang tidak menghalang mereka untuk berkembang. 3. Kanak-kanak khas dilindungi daripada sebarang elemen yang bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan. 4. Penglibatan ibu bapa dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap murid. Memberi dan membuka ruang kepada ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas untuk melibatkan diri dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan untuk anak-anak mereka. Guru Pemulihan Khas dan Guru Pendidikan Khas perlu menyediakan rancangan pelajaran individu bagi setiap murid pemulihan dengan mengikut prosedur yang ditetapkan. Guru hendaklah merancang objektif yang hendak dicapai oleh murid-murid pemulihan dalam satu-satu jangka masa tertentu dengan mengambil kira potensi dan kekurangan yang ada pada kanak-kanak tersebut. Dalam hal ini, konsep kolaboratif dalam pendidikan diamalkan iaitu konsep yang mana pelbagai pihak seperti ibu bapa, kaunselor dan guru terlibat sama dalam merancang pendidikan pemulihan. Manakala di Britain pengumuman Warnock Report 1978 merancakkan perkembangan pendidikan khas. Kedua-dua negara tersebut mendahului lebih kurang 20 tahun lebih awal daripada Malaysia yang kesannya amat besar dari aspek pertumbuhan serta kemajuan dalam pendidikan khas. Dalam hal ini, selain daripada kesedaran masyarakat terhadap pendidikan khas, peranan undang-undang atau polisi pemerintah merupakan penggerak utama untuk membangunkan pendidikan khas. Laporan ini menekankan kepada konsep percampuran antara kanak-kanak berkeperluan khas dengan kanak-kanak biasa yang dikenali sebagai intergrasi atau inklusif. Sebelum laporan ini dikemukakan, konsep pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah berasaskan kepada pengasingan iaitu kanak-kanak ini belajar di sekolah khas yang menyekat dan menghalang mereka daripada bergaul dengan kanak-kanak biasa. Dasar ini dilaksanakan dan diamalkan sehingga ke hari ini. Dasar ini juga dijadikan panduan kepada Negara-negara lain dalam melaksanakan pendidikan khas. Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam pelaksanaan pendidikan khas. Manakala Akta Kanak-Kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukuh pelaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan. Pertama, amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak khas oleh pelbagai golongan pakar ke atas keperluan mengikut pendidikan. Keduanya, konsep pengasingan tempat belajar kanak-kanak khas diganti dengan konsep intergrasi atau inklusif iaitu kanak-kanak khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama. Di Malaysia, program pemulihan bermula pada tahun 1965 apabila tiga orang guru yang mendapat latihan di England kembali berkhidmat. Sehingga 1968, seramai Sembilan orang guru telah mendapat latihan di luar negara. Program pendidikan pemulihan bermula sebagai ‘pilot project’ di Sembilan buah sekolah rendah di seluruh Malaysia. Projek ini telah bermula pada awal tahun 1967 dan berakhir pada tahun 1970. Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, didapati Program Pendidikan Pemulihan amat perlu bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran. Dari tahun 1968 hingga 1974, kerajaan telah membekukan pengambilan guru-guru berkursus dalam bidang pendidikan pemulihan. Berdasarkan Laporan Murad 1971, didapati 25% murid-murid sekolah rendah telah tercicir. Hasil daripada laporan tersebut, kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif. Pada tahun 1975, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalankan projek percubaan dalam Pendidikan Imbuhan untuk sekolah rendah dengan menggunakan strategi pendidikan pemulihan yang dijalankan oleh guru kelas biasa. Murid-murid yang terlibat dalam projek ini ialah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran ringan dalam Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Murid-murid yang menghadapi masalah yang kompleks diserahkan kepada guru pemulihan khas. Pada tahun yang sama juga, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan Kursus Dalam Cuti. Peserta-peserta kursus adalah terdiri daripada guru-guru terlatih di sekolah-sekolah rendah. Jawatankuasa kursus adalah seperti berikut; i. 2 minggu dalam cuti penggal pertama ii. 2 minggu dalam cuti penggal kedua iii. 4 minggu dalam cuti penggal ketiga Pada tahun 1977, kursus satu tahun telah dijalankan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Mulai tahun 1981, kementerian telah mengadakan kursus dalam cuti penggal persekolahan hingga sekarang. Kursus-kursus jangka pendek juga diperkenalkan untuk menampung kekurangan guru-guru pemulihan yang mempunyai latihan khas jangka pendek. Pada Tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi focus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Pengajaran dan Pembelajaran pada Tahap 1 (Tahun 1-3) akan membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan asas 3M. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008) Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di dalam teras ketiga: Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan teras keempat: Merapatkan Jurang Pendidikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. Kementerian Pelajaran Malaysia turut memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan dan menyediakan guru pemulihan khas terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM). (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008) Beberapa program pemulihan telah dilaksanakan oleh Kementeria Pelajaran Malaysia untuk memastikan semua kanak-kanak tidak tercicir dalam pendidikan arus perdana. Antara program yang telah diperkenalkan ialah; (a) KIA2M KIA2M atau Kelas Intervensi Awal Membaca ialah program yang dirancang khusus untuk membantu murid-murid Tahun Satu menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu Tahun Satu secara sepenuh masa di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Di Sekolah Kebangsaan, program ini dijalankan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu 12 waktu dan 9 waktu di Sekolah Jenis Kebangsaan. (b) Program Pendidikan Khas Program Pendidikan Khas ialah program yang dijalankan di sekolah khas atau kelas yang khusus untuk murid-murid bermasalah penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Program ini dilaksanakan bertujuan agar semua murid berpeluang mendapatkan pendidikan bermula daripada intervensi awal. (c) Program KEDAP KEDAP ialah program kelas dewasa untuk ibu bapa murid orang Asli, Penen dan Pribumi. Tujuannya adalah untuk mengurangkan masalah buta huruf dalam kalangan mereka di seluruh Negara. Pelaksanaannya dibuat berdasarkan keperluan ibu bapa murid orang Asli, Penan dan Pribumi yang kurang memberikan motivasi dan membantu anak-anak dalam pelajaran kerana mereka tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Matlamat utama kurikulum KEDAP adalah membantu mereka untuk meningkatkan tahap literasi dan membentuk sikap positif terhadap pembelajaran sepanjang hayat. (Khairuddin, 2011) (d) PROTIM PROTIM Bahasa Melayu dikhususkan kepada murid yang mengalami kesulitan dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Sasaran program PROTIM adalah untuk murid tahun 4, 5 dan 6. Pada tahun 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Program Pemulihan Khas dan Intervensi (P1NCH) yang dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah rendah dan menengah. Ini bertujuan untuk mencapai sasaran sifar Literasi dan Numerasi (3M) dengan mengenalpasti dan membantu murid-murid yang gagal menguasai kemahiran asas tersebut. Antara tindakan bagi pelaksanaan P1NCH merangkumi; 1. Program Pemulihan Khas Tahun 2 • Semua murid LINUS Pemulihan/Tegar akan mengikuti Program Pemulihan Khas (LINUS) di sekolah. • Modul LINUS Tahun 2 dan Modul Pemulihan sedia ada hendaklah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid tersebut akan menduduki Saringan 4,5 dan 6 dalam Program LINUS 2. Program Pemulihan Khas Tahun 3 • Murid pemulihan khas di tahun 2 (2010) yang gagal dalam Ujian Pelepasan perlu mengikuti program pemulihan khas 3. Program Pemulihan Tahun 4, 5 dan 6 • Murid Tahun 4, 5 dan 6 yang masih tidak menguasai 3M perlulah menjalani program pemulihan mengikut konsep KBSR (Pemulihan dalam Bilik Darjah) yang dipertanggungjawabkan kepada guru mata pelajaran yang berkenaan. Walau bagaimanapun guru pemulihan khas boleh membantu murid tersebut. 4. Program Intervensi 3M Sekolah Menengah Perkembangan Program Pemulihan Khas menunjukkan pendidikan universal diutamakan yang merupakan salah satu daripada komponen utama program Pendidikan Untuk Semua dan Pendidikan Sepanjang Hayat serta merupakan strategi untuk mewujudkan pendemokrasian pendidikan. Keutamaan ini diberikan kepada ketiga-tiga aspek pendidikan sejagat iaitu Universal Access kepada pendidikan rendah, kadar menamatkan persekolahan yang tinggi dan pencapaian maksimum. (Special Education Department, 1999)