Ahad, 24 Oktober 2010

Nota BM Kontekstual - Persediaan sebelum menyampai

Persediaan awal sebelum menyampaikan maklumat [A]
Ada empat aspek yang perlu ditekankan oleh pengucap semasa membuat persediaan awal sebelum menyampaikan maklumat iaitu pemilihan topik, pengumpulan bahan, penyusunan bahan, dan latihan melalui pengalaman.

1.6.1 Pemilihan topik [B]
Pemilihan topik yang hendak diperkatakan dalam ucapan merupakan perkara paling penting yang perlu ditekankan oleh seorang pengucap supaya sesi ucapannya berjalan lancar. Maimunah Osman (2000) menyatakan mesej yang hendak disampaikan perlulah sesuai, menggunakan perkataan yang tepat, menggunakan contoh yang relevan, disampaikan dengan gaya yang sesuai dan susunan mesej yang jelas. Nuraini Yusoff et al. (2005) pula berpendapat pemilihan topik yang tepat perlulah bersadarkan tiga kriteria penting iaitu mestilah perkara baru, releven dengan pelbagai keadaan, dan kepentingan topik.

(a) Memperkatakan perkara baru
Setiap topik yang hendak disampaikan mestilah mengangungi perkara-perkara baru dan tidak mengulang topik lama yang telah kerap diperkatakan. Adakalanya sesuatu topik itu merupakan topik yang telah menjadi kebiasaan pada pendengar. Akan tetapi disebabkan kebijaksanaan pengucap, pendengar seronok mendengarnya dan pada waktu yang sama turut ditambah dengan beberapa idea-idea baru. Contohnya pengucap memperkatakan topik tentang kaedah menanam pokok mangga menggunakan teknik cantuman mata tunas. Topik ini tidak sesuai lagi kerana kerajaan telah memperkenalkan kaedah biotech yang lebih canggih. Oleh itu menjadi kewajipan pengucap membuat penyelidikan terhadap topik yang hendak disampaikan agar sentiasa segar dan bersifat terkini.

(b) Releven dengan pelbagai keadaan
Pelbagai keadaan di sini adalah merujuk kepada bilangan pendengar, masa, situasi dan keadaan. Contohnya, adalah tidak releven sekiranya pengucap menyampaikan topik berkaitan dengan isu cetak rompak semasa menyampaikan ucapan pada ‘Perasmian Hari Kecemerlangan Murid’ kerana ucapannya tidak releven pada situasi dan keadaan.

(c) Kepentingan topik
Semasa menyampaikan sesuatu topik, perkara penting yang harus difikirkan ialah mesej yang hendak disampaikan kepada pendengar. Seorang pengucap yang baik tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan sempurna akan menghasilkan sebuah pengucapan yang membosankan. Contohnya topik tentang kewajipan murid mematuhi peraturan sekolah dan topik mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah kepada dua ratus orang murid baru tingkatan satu di sekolah menengah. Pengucap yang bijak akan memilih topik kewajipan memetuhi peraturan sekolah jika khalayaknya murid-murid baru tingkatan satu.

1.6.2 Mengumpul bahan [B]
Penyampaian yang tidak lancar seringkali dikaitkan dengan penyediaan bahan yang tidak mencukupi. Maimunah Osman (2000) menyenaraikan empat perkara penting yang perlu dilakukan oleh pengucap semasa mengumpul bahan, iaitu bahan bersumber penyelidikan, pengalaman, pengetahuan sedia ada, dan temu bual.

(a) Penyelidikan
Tujuan penyelidikan adalah mencari idea baru, terkini dan bersifat semasa. Kaedah ini boleh dilakukan pengucap dengan membuat rujukan terhadap buku, majalah, rencana, laporan atau sumber internet. Jika mampu, jalankan soal selidik sendiri terhadap sesuatu topik dan dapatan soal selidik diproses sebelum didedahkan kepada khalayak.

(b) Pengalaman
Bahan juga boleh dikumpulkan menerusi pengalaman lalu sama ada pengalaman sendiri atau pengalaman orang lain. Idea yang disampaikan juga boleh diselitkan dengan pengalaman sebenar bagi tujuan memperlihatkan kredibiliti pengucap dengan topik yang diperkatakan.

(c) Pengetahuan sedia ada
Seorang pengucap yang mempunyai pengetahuan yang luas boleh menyampaikan ideanya dengan lancar dan tersusun semasa berucap. Malah untuk menambah pengetahuan sedia ada, pengucap boleh membuat aktiviti bacaan yang meluas daripada pelbagai sumber boleh dilakukan.

(d) Temu bual
Akhir sekali membuat sesi temu bual ringkas. Dengan adanya sesi temu bual orang yang lebih berpengalaman akan menjadikan topik yang hendak diperkatakan itu lebih mantap kerana sumber bahan yang pelbagai. Selain itu pengucap akan menjadi lebih yakin kerana memperoleh bahan dari sumber pertama dan tulen.


1.6.3 Penyusunan bahan [B]
Penyusunan bahan penting sebelum pengucap menyampaikan ucapan yang berkesan. Menurut Nuraini Yusoff et al. (2005) bahan-bahan yang diperoleh tidak akan membantu kelancaran penyampaian sekiranya tidak disusun dengan kemas dan menarik. Isi dan idea yang tersusun akan dapat mewujudkan kesinamungan mesej.
Ada tujuh cara menyusun bahan iaitu, penyusunan mengikut lakaran idea utama, penyusunan berdasarkan proses percambahan idea, penyusunan topikal, penyusunan kronologi, penyusunan ruang, penyusunan sebab-akibat dan penyusunan masalah-penyelesaian.

(a) Penyusunan mengikut lakaran idea utama
Menekankan kepada penjelasan idea, penerangan istilah-istilah, kenyataan-kenyataan penting, dan sorotan idea merupakan item yang perlu dijadikan teras dalam melakar idea utama. Ini penting untuk memperlihatkan kejelasan penyampaian mesej yang berkenaan.

(b) Penyusunan berdasarkan percambahan idea
Berlaku apabila idea utama dicambahkan dengan memasukkan maklumat sokongan bagi memastikan kesegaran pengucapan. Maklumat sokongan tersebut berupa cerita-cerita yang sesuai, statistik, contoh-contoh yang relevan, perbandingan dan sebagainya.

(c) Penyusunan topikal
Merupakan satu kaedah pengklasifikasian atau proses mengkategorikan isi-isi penting. Dalam masa yang sama setiap isi penting pada ucapan berkenaan akan ditanda sebagai topik bagi teks berkenaan. Makay (1995) berpendapat penyusunan cara ini agak rumit untuk menerangkan sesuatu kerana tidak terikat pada masa dan ruang, masalah dan penyelesaian, sebab dan kesan, tetapi sebaliknya hanyalah satu keunikan dalam teks ucapan.

(d) Penyusunan kronologi
Juga dikenali sebagai penyusunan masa, merupakan satu kaedah menyusun yang isinya mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Kaedah ini sesuai untuk ucapan berbentuk biografi yang berkaitan dengan peristiwa, sejarah, pemerosesan dan kitaran kerana mempunyai kesinambungan mengikut masa. Contohnya pengucapan atau syarahan yang berkaitan dengan proses kejadian manusia di muka bumi ini.
(e) Penyusunan ruang
Merupakan satu kaedah penyusunan yang menekankan ruang, kawasan atau tempat. Walau pun cara penyusunan ini jarang digunakan, tetapi ia sesuai untuk ucapan yang membincangkan sesuatu kawasan seperti menggunakan idea-idea utama berdasarkan wilayah, daerah, kawasan, negeri, zon dan sebagainya. Contohnya penderitaan yang dialami oleh mangsa peperangan di Bosnia di mana penyusunan idea sudah tentulah menggunakan konsep ruang, tempat dan kawasan.

(f) Penyusunan sebab-akibat
Merupakan satu kaedah penyusunan teks ucapan yang khusus membincangkan bagaimana wujudnya sesuatu masalah. Ia merujuk kepada penyusunan idea-idea utama berdasarkan sebab-sebab berlakunya sesuatu kejadian serta ahibatnya. Contohnya ucapan tentang faktor kecuaian manusia menjadi penyebab utama meningkatnya kemalangan jalan raya yang negeri. Justeru, penyusunan ini digunakan untuk mengubah pemikiran dan tingkah laku pendengar supaya tidak terjerumus dalam masalah tersebut.

(g) Penyusunan masalah-penyelesaian
Kaedah penyusunan ini digunakan untuk menyatakan masalah-masalah yang timbul dan kemudiannya memberikan beberapa cara untuk mengatasinya. Tugas menyusun dimulai dengan melibat masalah utama yang mendasari sesuatu keadaan. Kemudian beberapa cara penyelesaian masalah dibentangkan dalam ucapan sebelum memilih salah satu daripadanya untuk dijadikan pegangan dan penyelesaian masalah.


1.6.4 Latihan melalui pengalaman [B]

Melalui latihan, keupayaan seseorang pengucap itu dapat ditingkatkan bagi memahir dan membiasakan pengucap dengan situasi, keadaan dan idea yang hendak disampaikan. Untuk itu Maimunah Osman (2000) telah menyenaraikan tujuh kelebihan seseorang pengucap yang melakukan latihan, iaitu boleh menyemak idea, mengingat isi, uji kefahaman sendiri, memahami isi yang hendak disampaikan, membuat semakan masa, mencuba pelbagai teknik dan melihat kewajaran bahan sokongan.

(a) Menyemak isi atau idea
Memberi peluang pengucap membuat semakan semula sama ada isi atau idea yang hendak disampaikan itu telah dapat diingat atau sebaliknya. Boleh dilaksanakan semasa pengucap menghafal isi sambil melihat skrip ucapan.

(b) Mengingat isi
Latihan memberi peluang kepada pengucap untuk melihat semula teks ucapan dan menekankan kembali mana-mana bahagian yang masih belum ingat untuk mengelakkan keciciran atau pengulangan isi.

(c) Menguji kefahaman sendiri
Setelah proses mengingat isi dan idea, pengucap boleh mencuba atau menguji kefahaman sendiri mengenai isi yang hendak disampaikan. Ini menambahkan keyakinan pengucap untuk menyampaikan ucapan secara bersungguh-sungguh dan sedia untuk berhadapan dengan khalayak yang ramai.

(d) Memahami isi yang hendak disampaikan
Kekerapan membuat latihan membantu pengucap memahami keseluruhan isi yang hendak disampaikan. Hasilnya pengucap akan dapat menerangkan setiap isi dengan lancar dan jelas seolah-olah idea sepontan yang lahir dari hati sendiri.

(e) Membuat pembahagian masa
Latihan akan memberi peluang kepada pengucap untuk membuat pembahagian masa bagi setiap isi yang akan disampaikan. Pembahagian masa yang seimbang untuk setiap isi dapat mengelakkan pengucap berucap melebihi masa yang ditetapkan atau tidak cukup masa sehingga ada beberapa isi yang belum sempat disampaikan.

(f) Mencuba pelbagai teknik
Pengucap boleh mencuba pelbagai teknik penyampaian seperti nada suara, pergerakan anggota badan, dan mimik muka. Satu lagi teknik yang boleh digunakan ialah penggunaan bahasa badan semasa menyampaikan ucapan.

(g) Melihat kewajaran bahan sokongan
Semasa latihan pengucap boleh melihat kewajaran pelbagai bahan sokongan yang akan digunakan terutama yang melibatkan contoh atau data yang terkini. Jelaslah bahawa latihan merupakan pengalaman paling berguna bagi setiap pengucap untuk memperbaiki teknik pengucapan.


1.7 Penyampaian Berkesan [A]
Setiap pengucap mengharapkan kejayaan semasa menyampaikan ucapan ketika berhadapan dengan khalayak. Salah satu langkah untuk penyampaian yang berkesan ialah melaksanakan sesi latihan yang kerap. Nuraini et al. (2005) menyenaraikan tiga langkah untuk melahirkan penyampaian yang berkesan iaitu persediaan awal, panduan penyampaian dan kelebihan sedia ada.

1.7.1 Persediaan awal [B]
Seorang pengucap perlulah besedia dari segi fizikal, mental dan emosi. Ini penting supaya segala masalah yang timbul daripada ketiga-tiga aspek ini tidak menganggu kelancaran ucapan pengucap. Untuk merealisasikan hasrat ini, beberapa perkara perlu dilakukan oleh pengucap.

(a) Hadir awal ke lokasi ucapan
Pengucap disaran datang awal dan menepati masa yang telah ditetapkan oleh penganjur. Dengan datang awal, pengucap boleh melakukan pelbagai persiapan seperti memasang laptop dan menjalankan ujian ke atas sistem LCD yang disediakan sebelum khalayak mengambil tempat di dalam dewan berkenaan.



(b) Lakukan pencerapan lapangan
Kelebihan datang awal ke lokasi ucapan memberi peluang kepada pengucap melakukan proses pencerapan di lapangan iaitu dengan memerhati persekitaran dan keluasan dewan, mencuba tempat duduk penceramah, membetulkan kedudukan tempat berucap, layar putih untuk LCD, menguji pembesar suara dan menyesuaikan diri dengan situasi tempat di majlis akan dijalankan. Perasaan malu atau kurang selesa akan berlaku jika pengucap melakukan semua kerja-kerja ini ketika dewan telah dipenuhi khalayak.

(c) Atasi kegugupan
Bagi pengucap baru, kegugupan merupakan halangan utama terhadap kelancaran penyampaian. Walau bagaimanapun kegugupan boleh ditangani menggunakan kaedah psikologi, fizikal dan rohani seperti berikut:
(i) Mengakui hakikat bahawa kegugupan adalah perkara normal.
(ii) Hindarkan perbuatan negatif yang melambangkan pengucap sedang gugup.
(iii) Gunakan pengalaman sendiri untuk menangani kegugupan.

(d) Lakukan senaman ringkas untuk atasi kegugupan
Melakukan senaman ringkas seperti menarik nafas, menggoyangkan tangan dan kaki secara terkawal, menekan tapak tangan kiri dan kanan, menekan kaki ke lantai, menggoyangkan kepala kiri dan kanan secara terkawal dan sebagainya. Semua aktiviti ini boleh menggurangkan perasaan gugup.

(e) Mulakan ucapan dengan tenang
Semasa nama dipanggil, pengucap perlu bertenang dengan menarik nafas lega secara perlahan-lahan. Selain itu janganlah terlalu gairah atau tergesa-gesa untuk berucap. Ambilah masa untuk memulakan ucapan dan pastikan doa dibaca supaya apa yang hendak disampaikan berjaya dilaksanakan.


1.7.2 Panduan penyampaian [B]
Terdapat beberapa panduan penyampaian yang boleh digunakan pengucap seperti mewujudkan keyakinan diri, konsep menghormati pendengar dan ketiga menghayati prinsip komunikasi.

(a) Mewujudkan keyakinan diri
Untuk mewujudkan keyakinan diri semasa menyampaikan ucapan, pengucap hendaklah beramah mesra dengan pendengar dengan bertanya khabar khalayak. Atau memilih beberapa orang pendengar di tempat duduk pada bahagian hadapan untuk ditemu bual secara ringkas dengan bertanyakan nama dan majikan mereka. Kaedah ini boleh di lakukan pada awal atau pertengahan ucapan, mengikut situasi.

(b) Menghormati pendengar
Seperti yang dijelaskan sebelum ini bahawa pendengar adalah aset penting pengucap. Kehadiran pendengar ada kemungkinan sukarela atau secara paksaan oleh majlikan mereka. Justeru sebagai pengucap yang bijaksana, haruslah menghormati mereka daripada pelbagai sudut seperti menghormati pendapat yang diberi dan hak mereka untuk memperoleh ilmu baru selepas mendengar ucapan. Elakkan daripada menganggap diri sendiri pandai dan tahu dalam pelbagai segi kerana ada kemungkinan khalayak yang hadir itu mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang yang diucapkan.

(c) Menghayati prinsip komunikasi
Kerjasama erat antara pengucap dan pendengar akan menghasilkan jalinan penyampaian mesej yang berkesan. Seorang pengucap mestilah menghayati konsep bertanggungjawab secara seratus peratus untuk menjayakan komunikasi dengan membentuk matlamat komunikasi yang khusus dan jelas.


1.7.3 Kelebihan sedia ada [B]
Setiap orang dilahirkan dengan kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Oleh itu kenali potensi diri dan gunakan keistimewaan tersebut untuk menarik minat pendengar. Lazimnya diri sendiri sukar untuk mengenal pasti potensi diri kecualilah diberitahu oleh rakan dan pihak ketiga.

(a) Berbakat dalam bidang seni
Antara kelebihan yang biasa digunakan pengucap ialah berjenaka secara terkawal. Selain itu terdapat juga bakat lain dalam kalangan pengucap yang boleh diketengahkan seperti berlakon, bersajak, bersyair, bergurindam, bernyanyi dan melukis. Semua kemahiran ini merupakan bakat semula jadi yang dikurniakan Tuhan dan pengucap harus bijak menggunakannya semasa menyampaikan ucapan tetapi dengan syarat tidak keterlaluan dan mempunyai mesej yang menjurus kepada topik yang diperkatakan dalam ucapan.

(b) Potensi suara
Kelebihan juga terdapat pada seorang pengucap yang mampu mengawal suara dengan baik. Kelantangan suara, nada, kelajuan, jeda dan lafaz sebutan merupakan elemen penting untuk menunjukkan kehebatan seseorang pengucap mengawal suaranya. Keadaan ini akan menjadi lebih sempurna sekiranya pengucap berkemampuan menggunakan bahasa badan dengan baik. Kelakuan kinesik yang terdiri daripada pergerakan tangan, ekspresi muka, gerak mata dan postur tubuh dapat membuatkan pendengar menjiwai mesej penyampaian pengucap.

(c) Berwatak yang menarik
Terdapat segelintir pengucap mempunyai keistimewaan dari sudut perwatakan yang boleh menarik pendengar memberikan fokus kepada perkara yang diperkatakan. Seorang pengucap wanita yang bersopan-santun, manja, manis muka, sentiasa tersenyum dan bercirikan sifat keibuan yang sejati, maka ucapannya sesuai untuk kumpulan pendengar yang terdiri terdiri daripada kanak-kanak serta orang tua di rumah kebajikan. Contohnya seorang jururawat pergigian yang menerangkan kaedah memberus dan menjaga gigi kepada sekumpulan murid-murid tahun satu di sekolah rendah. Biasanya bahan yang diucapan itu berjaya mempengaruhi tingkah laku murid-murid berkenaan kerana cara penyampaiannya yang mesra pendengar dan wataknya yang lemah-lembut serta bersopan-santun.


1.8 Kredibiliti penyampai [A]
Kredibiliti bermaksud sifat yang boleh dipercayai, diyakini atau kebolehpercayaan. Hunt (1987) menyatakan kredibiliti atau kredibel, karisma serta imej adalah merujuk kepada seorang atau kumpulan untuk memperoleh kepercayaan atau keyakinan orang lain. Nuraini et al. (2005) menyenaraikan lima sifat atau sikap seorang pengucap, iaitu keperibadian yang mulia, memiliki sifat intergriti, fasih berbahasa, bijak melindungi kelemahan diri, dan ramah serta cepat mesra.

(a) Keberibadian yang mulia
Seorang pengucap wajar menunjukkan sifat dan sikap yang baik sebagai mengambarkan dirinya mempunyai keperibadian yang mulia kepada pendengar. Sikap dan sifat yang baik ini akan memperlihatkan komitmen dan kredibiliti pengucap yang sentiasa bersedia untuk memberikan ucapannya.

(b) Berintergriti
Berintergriti bermaksud memiliki kejujuran, ketulusan dan tidak sesekali mencemarkan nama baik sendiri dan organisasi yang diwakili. Pengucap yang berintergriti sedaya upaya mempertahankan nama baik ini daripada sebarang bentuk penyelewengan. Dengan itu kepercayaan pendengar terhadap pengucap tidak akan tergugat semata-mata setelah mendengar atau terlihat pengucap melakukan perkara-perkara yang negatif.

(c) Fasih berbahasa
Kebolehan seseorang bertutur dan berbahasa dengan baik bukan lagi kebolehan semula jadi yang diwarisi, tetapi ia boleh dipelajari. Kefasihan menggunakan bahasa semasa berucap akan memperlihatkan kredibiliti di samping kayu pengukur tahap pendidikan pengucap. Justeru pengucap perlu mempelajari dan menguasai kemahiran berbahasa agar mesej yang disampaikan mudah difahami pendengar.

(d) Bijak melindungi kelemahan diri
Sifat pengucap yang bijak ialah pandai menyembunyikan kelemahan diri. Bagi pengucap, rasa tidak selesa seperti rasa gugup, gagap, gelisah serta kecacatan anggota badan merupakan antara kelemahan yang tidak dapat dielakkan semasa berhadapan dengan pendengar. Walau bagaimanapun, jangan jadikan kelemahan-kelemahan tersebut sebagai alasan untuk meraih simpati daripada pendengar. Seboleh-bolehnya berusahalah untuk menyembunyikan kelemahan tersebut dengan mempamerkan kehebatan dan kelebihan diri yang ada sehingga pendengar seolah-olah terlupa akan kekurangan yang dimiliki pengucap.

(e) Ramah dan cepat mesra
Pengucap juga perlu memiliki sifat ramah dan cepat mesra dengan pendengar. Memulakan dengan senyuman dan mengalu-alukan pendengar dengan memuji mereka kerana sudi hadir merupakan langkah awal yang boleh dipraktikan pengucap. Keramahan boleh menghindarkan banyak masalah antara pihak pengucap dan pendengar seperti kesilapan mentafsir mesej, kesalahan melapor, kekeliruan dan ketidak percayaan.


1.9 Penggunaan Gaya dan Pemilihan Bahasa [A]
Untuk menghasilkan satu persembahan yang baik dan berkesan, pengucap perlu pandai memilih gaya bahasa yang hendak dilibatkan semasa kerja mengumpul dan menulis bahan. Pada waktu yang sama, pengucap perlu bijak menilai penggunaan tatabahasa seperti menggunakan ejaan yang betul, pemilihan perkataan yang tepat, ayat yang gramatis dan olahan yang menarik.

1.9.1 Penggunaan gaya [B]
Gaya ialah bermaksud sikap, kesukaan, ketaksukaan dan cara berkelakuan yang menjadi ciri atau pegangan seseorang. Dalam konteks bahasa, gaya dalam bahasa atau disebut gaya bahasa merupakan “bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya dan bentuk pembahasaannya” (Za’ba 2002). Manakala Nik Safiah Karim (1986) pula mentakrifkan gaya bahasa sebagai cara mengungkapkan bahasa, cara bertutur atau menulis.
Ada empat jenis gaya bahasa, iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa perulangan, gaya bahasa pertentangan, dan gaya bahasa pertautan.

(a) Gaya Bahasa Perbandingan
Bermaksud gaya bahasa yang digunakan untuk memberikan maksud lain sama ada sama atau sebaliknya. Dalam bahasa perbandingan, unsur kiasan banyak digunakan dan dinyatakan secara berterus atau sebaliknya. Henry Guntur Tarigan (1986) membahagikan bahasa perbandingan kepada sepuluh jenis iaitu perumpamaan, metafora, personifikasi, dipersonifikasi, alegori, antitesis, pleonasme, perifrasis, antisipasi dan koreksio. Metafora bermaksud pengunaan kata-kata untuk menyatakan erti yang berbeza daripada yang sebenarnya iaitu sebagai kiasan atau perbandingan. Contohnya ayat “di wajahnya ada api kebencian”. Manakala alegori pula bermaksud penyampaian mesej melalui cerita yang mempunyai makna lain dan dikaitkan dengan kehidupan seharian. Contohnya cerita Sang Kancil yang banyak menampilkan kehebatan tertentu.

(b) Gaya Bahasa Perulangan
Bermaksud gaya bahasa yang banyak menggunakan unsur mengulang bunyi, suku kata, kata atau frasa untuk tujuan penekanan terhadap isi tertentu yang dianggap penting. Contoh gaya bahasa perulangan ialah aliterasi iaitu pengulangan bunyi yang sama pada bahagian awal kata-kata yang berurutan dan asonansi iaitu perulangan bunyi vokal yang sama atau hampir sama dalam perkataan yang berderet.

(c) Gaya Bahasa Pertentangan
Bermaksud gaya bahasa yang digunakan untuk menunjukkan unsur pertentangan dalam ayat atau berlawanan antara dua objek, manusia dan sebagainya. Contoh gaya bahasa ini ialah hiperbola, ironi, paradoks dan sebagainya. Menurut gaya hiperbola, sesuatu perkara itu akan diucapkan secara berlebih-lebihan dari ciri-ciri sebenar yang melibatkan maksud jumlah, ukuran atau sifatnya. Ironi pula ialah gaya bahasa yang menyatakan makna yang bertentangan dengan maksud atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya. Manakala paradoks ialah gaya bahasa yang mengandungi fakta yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum.

(d) Gaya Bahasa Pertautan
Bermaksud gaya bahasa yang mengandungi pertalian antara satu unsur dengan unsur lain dalam sesuatu perkataan, ayat, atau perenggan. Contohnya metonimi, eufemisme, erotesis dan sebagainya. Gaya bahasa mitonimi bermaksud penggunaan nama sesuatu benda untuk merujuk benda lain yang sifatnya ada hubungan logik seperti penggunaan bulan sabit yang merujuk kepada agama Islam. Eufemisme pula merujuk kepada ungkapan yang lebih lembut, sopan, manis, dan tertib untuk menggantikan ungkapan yang dianggap kasar, seperti buang air kecil untuk maksud kencing. Manakala erotesis pula bermaksud gaya bahasa yang berbentuk pertanyaan yang banyak digunakan dalam pidato dengan tujuan untuk memberikan kesan yang lebih mendalam dan penekanan yang wajar tetapi tidak memerlukan jawapan.


1.9.2 Pemilihan bahasa [B]
Pemilihan bahasa yang betul bermaksud semua aspek bahasa seperti ejaan, perkataan dan ayat digunakan menurut peraturan kosa kata Melayu yang telah ditetapkan. Ada empat aspek yang ditekankan sewaktu pengucap membuat pemilihan bahasa iaitu perkataan, ayat, kesalahan bahasa, kesalahan perkataan, dan pengaruh bahasa Inggeris.

(a) Perkataan
Dalam penulisan teks penggunaan perkataan perlu diutamakan untuk mengelakkan ketidakfahaman, misalnya penggunaan perkataan yang sukar atau berulang-ulang. Ada dua cara memilih perkataan yang sesuai. Pertama, gunakanlah perkataan yang biasa atau lazim digunakan dan bukannya perkataan sukar. Contohnya perkataan ‘sudu’ bukannya ‘camca’, dan ‘bantuan’ bukannya ‘subsidi’. Kedua, gunakan perkataan tunggal dan bukannya kata majmuk. Contohnya ‘senja’ bukannya ‘senjakala’ dan ‘meja’ dan bukannya ‘meja tulis’.

(b) Ayat
Gunakan ayat aktif dan bukannya ayat pasif. Penggunaan ayat aktif digemari kerana mudah difahami, ayatnya lebih pendek dan mengandungi penegasan makna. Contoh ayat aktif ialah, ‘Ayah membeli sepasang baju Melayu’. Manakala contoh ayat pasif ialah ‘Baju Melayu yang sepasang itu telah dibeli oleh ayah’.

(c) Kesalahan umum bahasa
Bahasa Melayu penulisan sebenarnya berbeza daripada bahasa Melayu pertuturan. Perbezaan inilah yang disebut sebagai ‘kesalahan umum’ dan boleh dilihat dalam beberapa kategori iaitu kesalahan ejaan, perkataan, imbuhan, dan kata majmuk. Berikut merupakan contoh kesalahan umum bahasa, iaitu:
(i) Ejaan – mengeja perkataan tandatangan (betul) dan tanda tangan (salah).
(ii) Penggunaan perkataan – pendalaman (sungai) dan pedalaman (luar bandar).
(iii) Imbuhan – bernyanyi dan bukannya menyanyi.
(iv) Kata majmuk – pisang goreng dan bukannya goreng pisang

(d) Pengaruh Bahasa Inggeris
Umum mengetahui bahawa penggunaan kata, istilah, dan struktur bahasa Melayu adalah dipengaruhi oleh pelbagai bahasa, terutamanya bahasa Inggeris. Keadaan ini disebabkan sifat keterbukaan bahasa Melayu itu sendiri yang meminjam dan menyerap beberapa aspek kebahasaan bahasa Inggeris. Namun dalam situasi tertentu terdapat kecenderungan pengucap yang gemar menggunakan bahasa rojak semasa berucap. Contohnya, “ I harap sangatlah you dapat introduce I kat that Manager...” Ayat ini jika ditulis semula dengan menggunakan ayat yang betul, maka ia berbunyi “Saya menaruh harapan yang tinggi yang tuan dapat memperkenalkan saya kepada Tuan Pengurus”.

1.10 Penggunaan alat bantu yang sesuai [A]
Lazimnya pengucap hanya menggunakan beberapa alat bantu ringkas yang telah disediakan oleh penganjur seperti Laptop, Projektor LCD, skrin putih dan pembesar suara. Sebagai pengucap anda sebenarnya boleh meminta kerjasama penganjur untuk menyediakan alat bantu yang lain mengikut keperluan dengan syarat pengucap perlu terlebih dahulu menghubungi penganjur bagi menyatakan hasrat berbuat demikian. Peralatan tambahan lain yang boleh dipohon seperti microphone wirless untuk memudahkan pengucap bercakap sambil bergerak, penunjuk cahaya laser, kertas sebak, papan putih, alat tulis, radio kaset dan rostrum. Secara umumnya penggunaan alat bantu boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu jenis ektronik dan bukan elektronik.

1.10.1 Jenis-jenis alat bantu [B]
Ada dua jenis alat bantu yang boleh digunakan oleh pengucap, iaitu alat bantu elektronik dan alat bantu bukan elektronik.

Alat Bantu Elektronik [C]
Merupakan peralatan yang menggunakan bekalan elektrik seperti radio kaset, televisyen, filem slaid, tayangan video dan sebagainya. Tetapi dalam konteks masa kini, beberapa alat bantu jenis eletronik telah melalui proses pemantapan dan digunakan secara meluas semasa pengucapan. Justeru beberapa peralatan moden masa kini seperti komputer riba, pemain CD/DVD, dan Projektor LCD juga termasuk dalam kategori alat bantu elektronik.

(a) Projektor LCD
Maklumat yang tercatat pada PowerPoint akan dipancarkan terus pada skrin dengan bantuannya. Penceramah akan menggunakannya bagi menerangkan konsep yang abstrak, ilustrasi, gambar mahu pun petikan-petikan tertentu, carta dan jadual. Ini membantu penceramah untuk memahamkan pendengar.

(b) Filem Slaid dan PowerPoint
Bahan ini amat berkesan jika penceramah dapat menggunakannya dengan bijak. Penceramah tidak boleh menggunakan secara keseluruhan semasa berceramah tetapi ia perlu diselitkan ditempat-tempat yang sesuai. Filem Slaid dan Power Point ini merupakan gambaran langsung tentang apa yang diperbincangkan oleh penceramah. Malahan alat bantu ini akan turut membantu penceramah menerangkan apa yang tidak mampu diperjelaskan oleh penceramah. Kini peranan PowerPoint lebih besar apabila turut mengambil peranan TV sebagai media untuk menayangkan gambar bergerak kepada khalayak.



(c) Pita Video
Merupakan alat bantu dua dimensi. Dimensi pertama ialah alat ini mampu memberikan gambaran sebenar kepada pendengar tentang isu yang diperbincangkan. Dimensi kedua pula alat ini menyediakan rakaman suara dan bunyi-bunyi untuk mengukuhkan pancaran gambar. Disini penceramah perlulah bijak menggunakannya.

(d) Pembesar Suara dan Rostrum
Lazimnya pembesar suara akan disediakan oleh pihak penganjur. Apa yang perlu diawasi oleh penceramah ialah sistem bunyinya. Ini penting kerana jika pembesar suara tidak berfungsi dengan baik ia akan mengganggu ceramah yang disampaikan. Sekaligus sistem pembesar suara yang tidak baik akan mengganggu keberkesanan ceramah. Pembesar suara amat perlu kepada penceramah sekiranya pendengar yang hadir adalah ramai jumlahnya. Rostrum juga disediakan oleh pihak penganjur. Rostrum juga penting kerana ia berfungsi sebagai lokasi untuk meletakkan komputer riba, nota-nota pembentangan agar mudah kepada penceramah untuk membuat rujukan.