Sabtu, 14 Jun 2014
Tujuan Penyelidikan dalam Pendidikan
Seorang pengkaji yang baik dan beretika perlulah terlebih dahulu mengetahui
tujuan dia ingin menjalankan sesuatu kajian itu. Hal ini penting supaya kajian
tersebut berada pada landasan yang betul dan tidak terpesong. Dalam waktu yang
sama, ini dapat mengelakkan pembaziran dari segi masa, tenaga dan wang ringgit
kerana kerap bertukar tajuk, objektif atau soalan kajian. Justeru itu terdapat empat
tujuan dalam menjalankan penyelidikan dalam pendidikan, iaitu penerokaan,
penghuraian, penerangan dan ramalan.
(A) Penerokaan -
Meneroka bermaksud menjalankan pemeriksaan terhadap sesuatu perkara yang
belum jelas. Biasanya kajian dijalankan adalah untuk menerokai apabila ada
sesuatu masalah yang masih dalam peringkat awal atau isu yang diterokai itu
masih baharu. Justeru amalan meneroka ini digunakan untuk menjawab beberapa
soalan yang menggunakan kata tanya seperti apa, mengapa dan bagaimana.
Contohnya untuk melihat keberkesanan program Bina Insan Guru kepada guruguru
yang sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG). Kajian boleh
dijalankan untuk meneroka apakah masalah yang dihadapi mereka semasa
mengikuti aktiviti air dan sebagainya. Jadi, tujuan penerokaan berlaku dalam
situasi seperti ini. Maklumat yang terkumpul boleh dijadikan sebagai panduan
atau penambahbaikan bagi aktiviti yang sama tetapi kumpulan sasaran yang
berbeza pada tahun yang berikutnya.
(B) Penghuraian -
Tujuan penyelidikan dalam pendidikan yang kedua ialah penghuraian. Apakah
yang dimaksudkan dengan penghuraian? Penghuraian bermaksud menerangkan
sesuatu perkara atau kejadian secara panjang lebar dan tersusun. Penyelidikan
dalam pendidikan dijalankan untuk menghuraikan beberapa perkara yang
memerlukan penjelasan lebih lanjut. Antara perkara yang boleh dijalankan untuk
tujuan penghuraian ialah seperti sifat murid-murid yang gemar ponteng sekolah,
ciri-ciri guru yang ikhlas mengajar di dalam bilik darjah dan sebagainya. Dalam
konteks penyelidikan pendidikan untuk bahasa Melayu, elakkan penggunaan
bahasa yang berbelit-belit dan terlalu panjang. Ayat yang digunakan pengkaji
biarlah ringkas dan tepat tetapi tidak pula mencacatkan huraian yang ingin
disampaikan disebabkan huraian yang terlalu ringkas tadi.
(C) Penerangan-
Tujuan penyelidikan dalam pendidikan yang ketiga ialah menerangkan sesuatu
isu atau perkara dari tidak diketahui hingga menjadi diketahui oleh pihak yang
memerlukan. Penerangan dari segi bahasa bermaksud menjelaskan sesuatu
perkara supaya menjadi jelas dan terang. Justeru, semasa sesuatu kajian itu
dijalankan, pengkaji berperanan besar untuk menerangkan atau menjelaskan
hasil penemuan atau dapatan kajian kepada umum. Bagi tujuan ini, pengkaji
boleh membawa masuk beberapa maklumat sokongan seperti dapatan kajian oleh
pengkaji terdahulu sebagai penerangan sampingan yang boleh digunakan untuk
mengukuh dan menyokong lagi hujah yang diberi.
(D) Ramalan-
Tujuan terakhir penyelidikan dalam pendidikan adalah untuk membuat ramalan.
Apakah itu ramalan? Meramal bermaksud sesuatu perkara yang menjadi pegangan
oleh seseorang untuk melihat nasib atau mengetahui sesuatu yang akan berlaku
pada akhir peristiwa. Ramalan juga membawa maksud menduga, mentelah
atau meneka yang disertai dengan bukti. Penyelidikan dalam pendidikan juga
bertujuan membuat ramalan tentang kesudahan sesuatu isu yang dikaji pada
masa-masa akan datang. Contohnya, menjalankan kajian untuk mengetahui sama
ada calon siswa guru yang mendapat skor tinggi dalam Ujian Kemasukan Guru
ke IPGM merupakan jaminan untuk mereka menjadi seorang guru terlatih yang
cemerlang dan terbilang pada masa akan datang atau sebaliknya.
Ciri-ciri dalam Penyelidikan Pendidikan
(A) Empirikal -
Empirikal bermaksud kebergantungan kepada keputusan eksperimen atau
pemerhatian sebelum membuat sesuatu keputusan. Penyelidikan dalam pendidikan
dikatakan berbentuk empirikal kerana setiap data yang hendak digunakan
oleh seseorang pengkaji dikutip melalui proses pemerhatian, pengalaman atau
pengujian yang sebenar. Maknanya, data tersebut bukan “agakan” atau “tekaan”
sebaliknya mempunyai bukti dan sering kali dikutip secara langsung daripada
responden kajian. Apakah kaedah yang digunakan? Data kajian sebenarnya
boleh dikutip melalui pelbagai kaedah. Contohnya, melalui soal selidik, pengkaji
memerhati responden dalam situasi tertentu seperti bilik darjah, atau melalui
analisis dokumen seperti melihat buku kedatangan murid dan rekod profil murid
dengan menggunakan senarai semak yang telah disediakan.
(B)Sistematik - Sistematik bermaksud mempunyai peraturan atau ketetapan tersendiri yang
perlu diikuti atau dipatuhi. Penyelidikan dalam pendidikan pula dikatakan
bersistematik kerana proses penyelidikan yang dirancang dan diurus dengan
teliti serta mengikuti prosedur-prosedur tertentu. Kesemua ini adalah perlu untuk
meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan penyelidikan. Contohnya, sebelum
pengkaji menjalankan kajian, hendaklah dia terlebih dahulu menyediakan
“Proposal Kajian” atau dikenal sebagai “Cadangan Kajian”. Apabila proposal
kajian diluluskan, baharulah baik untuk pengkaji meneruskan proses seterusnya
seperti memohon kebenaran daripada pihak-pihak tertentu seperti EPRD,
Jabatan Pendidikan Negeri dan guru besar sekolah terlibat. Pengkaji tidak boleh
mendahulukan kerja-kerja mengutip data tanpa kebenaran pihak yang terlibat.
(C)Langkah Logik
Langkah logik bermaksud beberapa tindakan yang perlu diambil dan boleh
diterima akal atau munasabah. Penyelidikan dalam pendidikan perlu mengikuti
langkah-langkah logikal yang lazim digunakan. Biasanya, penyelidikan jenis ini
akan bermula dengan proses mengenal pasti masalah dan diikuti dengan tinjauan
literatur, pembentukan soalan kajian, pengumpulan data, penganalisisan data dan
rumusan kajian. Hal ini diikuti dengan cadangan hipotesis untuk menerangkan
sesuatu fenomena dan kemudian menjalankan langkah-langkah penyelidikan
untuk menentukan sama ada hipotesis yang dicadangkan itu boleh diterima
atau tidak. Penyelidikan juga dijalankan secara objektif iaitu semua dapatan
berdasarkan bukti empirikal.
(D) Kaedah Saintifik -
Saintifik bermaksud penyelidikan dalam pendidikan dikatakan mengikuti kaedah
atau prinsip sains iaitu satu ilmu pengetahuan yang sifatnya teratur dan boleh diuji
atau dibuktikan kebenaranya. Contohnya, seseorang penyelidik yang memulakan
kajiannya dengan berpegang kepada salah satu hipotesisnya iaitu masalah
disiplin di sekolah semakin rumit disebabkan pengaruh media massa. Kemudian
beliau akan menjalankan langkah seperti mengumpul data melalui soal selidik
atau memerhatikan murid di beberapa buah sekolah untuk mengumpul data bagi
menentukan sama ada hipotesisnya itu boleh diterima atau tidak.
Langgan:
Catatan (Atom)