Isnin, 6 Mei 2013
Apa itu Bahasa Rojak?
Bahasa Rojak adalah suatu jenis percakapan di Malaysia yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Kini Bahasa Rojak semakin menular dalam kalangan generasi muda. Bahasa rojak digunakan secara meluas terutamanya dalam kalangan remaja bandar di Malaysia,sekaligus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Kerajaan memutuskan bagi melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dalam sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan bahasa rojak.
Dari segi sejarahnya, bahasa rojak dikesan seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila perdagangan antarabangsa ditubuhkan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah berjaya menarik ramai pedagang yang secara keseluruhannya bertutur lebih 80 bahasa dari pelbagai bangsa dan budaya. Dari peristiwa inilah maka proses awal bahasa rojak dikatakan berlaku di negara kita.