Khamis, 16 Mei 2013
SEJARAH PENDIDIKAN PEMULIHAN DI MALAYSIA
Sejarah Pendidikan Pemulihan bermula di luar negara iaitu di Amerika selepas termaktubnya Public Law 94-142. Akta Pendidikan untuk kanak-kanak khas ini menjelaskan bahawa semua kanak-kanak termasuk kanak-kanak berkeperluan khas wajib menerima pendidikan di sekolah-sekolah biasa dan sekolah khas. Pada tahun 1990, Public Law 94-142 diberi nama baharu iaitu IDEA (Individuals with Disabilities Education Act) dan diperluaskan. Melalui akta ini, pendidikan untuk semua dan pendemokrasian pendidikan diperkemaskan. Undang-undang ini menunjukkan betapa pentingnya kanak-kanak pemulihan dan berkeperluan khas diberikan perhatian. Antara yang ditekankan ialah;
1. Penyediaan pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai kepada kanak berkeperluan khas.
2. Pendidikan untuk kanak-kanak khas dilaksanakan dalam persekitaran yang tidak menghalang mereka untuk berkembang.
3. Kanak-kanak khas dilindungi daripada sebarang elemen yang bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan.
4. Penglibatan ibu bapa dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap murid. Memberi dan membuka ruang kepada ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak khas untuk melibatkan diri dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan untuk anak-anak mereka.
Guru Pemulihan Khas dan Guru Pendidikan Khas perlu menyediakan rancangan pelajaran individu bagi setiap murid pemulihan dengan mengikut prosedur yang ditetapkan. Guru hendaklah merancang objektif yang hendak dicapai oleh murid-murid pemulihan dalam satu-satu jangka masa tertentu dengan mengambil kira potensi dan kekurangan yang ada pada kanak-kanak tersebut. Dalam hal ini, konsep kolaboratif dalam pendidikan diamalkan iaitu konsep yang mana pelbagai pihak seperti ibu bapa, kaunselor dan guru terlibat sama dalam merancang pendidikan pemulihan.
Manakala di Britain pengumuman Warnock Report 1978 merancakkan perkembangan pendidikan khas. Kedua-dua negara tersebut mendahului lebih kurang 20 tahun lebih awal daripada Malaysia yang kesannya amat besar dari aspek pertumbuhan serta kemajuan dalam pendidikan khas. Dalam hal ini, selain daripada kesedaran masyarakat terhadap pendidikan khas, peranan undang-undang atau polisi pemerintah merupakan penggerak utama untuk membangunkan pendidikan khas. Laporan ini menekankan kepada konsep percampuran antara kanak-kanak berkeperluan khas dengan kanak-kanak biasa yang dikenali sebagai intergrasi atau inklusif. Sebelum laporan ini dikemukakan, konsep pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah berasaskan kepada pengasingan iaitu kanak-kanak ini belajar di sekolah khas yang menyekat dan menghalang mereka daripada bergaul dengan kanak-kanak biasa.
Dasar ini dilaksanakan dan diamalkan sehingga ke hari ini. Dasar ini juga dijadikan panduan kepada Negara-negara lain dalam melaksanakan pendidikan khas. Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam pelaksanaan pendidikan khas. Manakala Akta Kanak-Kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukuh pelaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan. Pertama, amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak khas oleh pelbagai golongan pakar ke atas keperluan mengikut pendidikan. Keduanya, konsep pengasingan tempat belajar kanak-kanak khas diganti dengan konsep intergrasi atau inklusif iaitu kanak-kanak khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama.
Di Malaysia, program pemulihan bermula pada tahun 1965 apabila tiga orang guru yang mendapat latihan di England kembali berkhidmat. Sehingga 1968, seramai Sembilan orang guru telah mendapat latihan di luar negara. Program pendidikan pemulihan bermula sebagai ‘pilot project’ di Sembilan buah sekolah rendah di seluruh Malaysia. Projek ini telah bermula pada awal tahun 1967 dan berakhir pada tahun 1970. Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, didapati Program Pendidikan Pemulihan amat perlu bagi membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran.
Dari tahun 1968 hingga 1974, kerajaan telah membekukan pengambilan guru-guru berkursus dalam bidang pendidikan pemulihan. Berdasarkan Laporan Murad 1971, didapati 25% murid-murid sekolah rendah telah tercicir. Hasil daripada laporan tersebut, kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif. Pada tahun 1975, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalankan projek percubaan dalam Pendidikan Imbuhan untuk sekolah rendah dengan menggunakan strategi pendidikan pemulihan yang dijalankan oleh guru kelas biasa. Murid-murid yang terlibat dalam projek ini ialah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran ringan dalam Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris. Murid-murid yang menghadapi masalah yang kompleks diserahkan kepada guru pemulihan khas.
Pada tahun yang sama juga, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengadakan Kursus Dalam Cuti. Peserta-peserta kursus adalah terdiri daripada guru-guru terlatih di sekolah-sekolah rendah. Jawatankuasa kursus adalah seperti berikut;
i. 2 minggu dalam cuti penggal pertama
ii. 2 minggu dalam cuti penggal kedua
iii. 4 minggu dalam cuti penggal ketiga
Pada tahun 1977, kursus satu tahun telah dijalankan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Mulai tahun 1981, kementerian telah mengadakan kursus dalam cuti penggal persekolahan hingga sekarang. Kursus-kursus jangka pendek juga diperkenalkan untuk menampung kekurangan guru-guru pemulihan yang mempunyai latihan khas jangka pendek.
Pada Tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi focus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Pengajaran dan Pembelajaran pada Tahap 1 (Tahun 1-3) akan membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan asas 3M. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008)
Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di dalam teras ketiga: Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan teras keempat: Merapatkan Jurang Pendidikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. Kementerian Pelajaran Malaysia turut memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan dan menyediakan guru pemulihan khas terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM). (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008)
Beberapa program pemulihan telah dilaksanakan oleh Kementeria Pelajaran Malaysia untuk memastikan semua kanak-kanak tidak tercicir dalam pendidikan arus perdana. Antara program yang telah diperkenalkan ialah;
(a) KIA2M
KIA2M atau Kelas Intervensi Awal Membaca ialah program yang dirancang khusus untuk membantu murid-murid Tahun Satu menguasai kemahiran asas membaca dan menulis. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu Tahun Satu secara sepenuh masa di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan. Di Sekolah Kebangsaan, program ini dijalankan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu 12 waktu dan 9 waktu di Sekolah Jenis Kebangsaan.
(b) Program Pendidikan Khas
Program Pendidikan Khas ialah program yang dijalankan di sekolah khas atau kelas yang khusus untuk murid-murid bermasalah penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Program ini dilaksanakan bertujuan agar semua murid berpeluang mendapatkan pendidikan bermula daripada intervensi awal.
(c) Program KEDAP
KEDAP ialah program kelas dewasa untuk ibu bapa murid orang Asli, Penen dan Pribumi. Tujuannya adalah untuk mengurangkan masalah buta huruf dalam kalangan mereka di seluruh Negara. Pelaksanaannya dibuat berdasarkan keperluan ibu bapa murid orang Asli, Penan dan Pribumi yang kurang memberikan motivasi dan membantu anak-anak dalam pelajaran kerana mereka tidak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Matlamat utama kurikulum KEDAP adalah membantu mereka untuk meningkatkan tahap literasi dan membentuk sikap positif terhadap pembelajaran sepanjang hayat. (Khairuddin, 2011)
(d) PROTIM
PROTIM Bahasa Melayu dikhususkan kepada murid yang mengalami kesulitan dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Sasaran program PROTIM adalah untuk murid tahun 4, 5 dan 6.
Pada tahun 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Program Pemulihan Khas dan Intervensi (P1NCH) yang dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah rendah dan menengah. Ini bertujuan untuk mencapai sasaran sifar Literasi dan Numerasi (3M) dengan mengenalpasti dan membantu murid-murid yang gagal menguasai kemahiran asas tersebut. Antara tindakan bagi pelaksanaan P1NCH merangkumi;
1. Program Pemulihan Khas Tahun 2
• Semua murid LINUS Pemulihan/Tegar akan mengikuti Program Pemulihan Khas (LINUS) di sekolah.
• Modul LINUS Tahun 2 dan Modul Pemulihan sedia ada hendaklah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Murid tersebut akan menduduki Saringan 4,5 dan 6 dalam Program LINUS
2. Program Pemulihan Khas Tahun 3
• Murid pemulihan khas di tahun 2 (2010) yang gagal dalam Ujian Pelepasan perlu mengikuti program pemulihan khas
3. Program Pemulihan Tahun 4, 5 dan 6
• Murid Tahun 4, 5 dan 6 yang masih tidak menguasai 3M perlulah menjalani program pemulihan mengikut konsep KBSR (Pemulihan dalam Bilik Darjah) yang dipertanggungjawabkan kepada guru mata pelajaran yang berkenaan. Walau bagaimanapun guru pemulihan khas boleh membantu murid tersebut.
4. Program Intervensi 3M Sekolah Menengah
Perkembangan Program Pemulihan Khas menunjukkan pendidikan universal diutamakan yang merupakan salah satu daripada komponen utama program Pendidikan Untuk Semua dan Pendidikan Sepanjang Hayat serta merupakan strategi untuk mewujudkan pendemokrasian pendidikan. Keutamaan ini diberikan kepada ketiga-tiga aspek pendidikan sejagat iaitu Universal Access kepada pendidikan rendah, kadar menamatkan persekolahan yang tinggi dan pencapaian maksimum. (Special Education Department, 1999)
Isnin, 6 Mei 2013
Apa itu Bahasa Rojak?
Bahasa Rojak adalah suatu jenis percakapan di Malaysia yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Kini Bahasa Rojak semakin menular dalam kalangan generasi muda. Bahasa rojak digunakan secara meluas terutamanya dalam kalangan remaja bandar di Malaysia,sekaligus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Kerajaan memutuskan bagi melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutamanya dalam sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan bahasa rojak.
Dari segi sejarahnya, bahasa rojak dikesan seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila perdagangan antarabangsa ditubuhkan oleh Parameswara pada tahun 1402 di Melaka. Pelabuhan ini telah berjaya menarik ramai pedagang yang secara keseluruhannya bertutur lebih 80 bahasa dari pelbagai bangsa dan budaya. Dari peristiwa inilah maka proses awal bahasa rojak dikatakan berlaku di negara kita.
Rabu, 1 Mei 2013
Literasi Bahasa Melayu - Kesediaan Membaca
Kesediaan membaca murid-murid berkait secara langsung dengan pen¬didikan literasi. Kesediaan membaca bermaksud kemampuan seseorang murid untuk membaca adalah merujuk kepada kesediaan mereka untuk menerima pengajaran dan pembelajaran dari segi mental, emosi dan fizikal. Ini melibatkan pelbagai aktiviti sebelum sesuatu peringkat bacaan dimulakan, termasuklah proses mendirikan asas, mengukuhkan asas mahupun peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Umumnya bagi seorang murid yang tidak pernah didedahkan dengan apa jua aktiviti bacaan, bermakna kesediaan membaca yang akan dilalui mereka merangkumi kebolehan fizikal, emosi dan mentalnya.
Dari segi fizikalnya, kemampuan kanak-kanak boleh dilihat dari tiga sudut, iaitu keupayaan alat-alat sebutannya (artikulasi) menghasilkan bunyi-bunyi yang akan diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk dan keupayaan pendengarannya mengecam pelbagai bunyi-bunyi. Manakala dari segi emosi pula, kemampuan seseorang murid dapat dilihat dari dua aspek, iaitu minatnya terhadap bahan-bahan bacaan berkenaan. Ini termasuk kemampuan kanak-kanak boleh bermain dengan bahan bacaan, dapat membelek-belek bahan bacaan berkenaan, tertarik dengan bahan bacaan serta pengaruh rakan-rakan yang minat membaca. Kedua, minatnya untuk mendengar bahan bacaan terutama dalam bentuk cerita. Dari segi mental pula, kemampuan seorang kanak-kanak dapat dilihat dari dua aspek berikut, iaitu keupayaannya mengingat kembali maklumat yang didengar dan kebolehan mengeluarkan maklumat yang telah diketahuinya.
Faktor-faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca seseorang kanak-kanak ialah keadaan fizikal, pengalaman dan persekitaran, emosi dan motivasi serta kecerdasan dan perkembangan kognitif. Dari segi fizikal, kemampuan kanak-kanak dilihat dari sudut keupayaan alat-alat sebutannya menghasilkan bunyi-bunyi yang diajarkan, keupayaan matanya mengecam bentuk dan keupayaan pendengarannya mengecam bunyi-bunyi. Dari segi emosi, kemampuan kanak-kanak dilihat dari segi minatnya terhadap bahan-bahan bacaan dan minatnya untuk mendengar bacaan terutamanya bahan cerita. Dari segi mental pula, kemampuan kanak-kanak dilihat dari segi keupayaannya mengingat apa yang telah diberitahu dan kebolehannya menyatakan semula apa jua yang telah diketahuinya.
Rumusannya, untuk membolehkan kanak-kanak menguasai peringkat kesediaan membaca ini, anda sebagai guru hendaklah membimbing kanak-kanak menguasai pelbagai kemahiran lain yang akan membantu mereka mencapai kemahiran membaca dengan lebih mudah. Kajian menunjukkan kanak-kanak bersedia membaca seawal umur empat tahun. Selain faktor fizikal, emosi dan mental, faktor persekitaran amat mempengaruhi kesediaan kanak-kanak membaca. Sebagai contoh, kanak-kanak yang terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan sejak lahir, sentiasa melihat orang di sekeliling membaca dan ada pula orang yang membacakan buku cerita untuknya akan lebih cepat bersedia membaca berbanding dengan kanak-kanak seusianya yang tidak mendapat peluang yang sama.
Langgan:
Catatan (Atom)