Rabu, 15 September 2010

Nota BM Kontekstual - Elemen dalam kemahiran menyampai



Elemen dalam kemahiran menyampaikan
Menguasai kemahiran menyampai penting kepada setiap orang. Kini anggapan yang menyatakan kehebatan dan keupayaan individu tertentu menyampaikan maklumat secara berkesan sebagai bakat semula jadi boleh dipertikaikan. Malah ada juga yang berpendapat sebagai kelebihan diri yang dianugerah tuhan atau diwarisi dari ibu bapa. Sebenarnya kemahiran menyampai maklumat secara berkesan boleh dipelajari dan dimiliki oleh semua orang jika ada minat.
Apabila kita membicarakan kemahiran menyampaikan maklumat, sebenarnya ada lima elemen penting yang perlu diambil kira iaitu penggunaan pelbagai jenis ragam bahasa, penyampaian buah fikiran yang tersusun dan bersistematik, pengetahuan tatabahasa yang baik, penguasaan pelbagai gaya menyampai dan penguasaan pelbagai bentuk penulisan. Menurut Nuraini Yusoff et al. (2005) yang memetik pendapat Aristotle telah menyenaraikan lima elemen iaitu reka cipta, susunan, gaya, ingatan dan penyampaian.

1.3.1 Reka Cipta

Reka cipta merujuk kepada satu proses penggabungan kesemua bahan dalam sesebuah pengucapan seperti elemen idea, perdebatan dan bukti yang menunjukkan sesuatu kes yang diperkatakan sama ada menyokong atau menentang. Proses yang dimaksudkan ini adalah merujuk kepada dua sudut yang berbeza, iaitu dari sudut teori dan dari sudut praktikal. Dari segi teori, reka cipta dikatakan berlaku apabila suatu kajian itu diperdebatkan dan disertakan dengan bukti yang berjaya diperoleh dan dicari. Manakala dari segi praktikalnya berlaku apabila reka cipta mengalami proses pengeluaran idea yang mantap dan baik untuk digunakan oleh pengucap ketika menyampaikan ucapan atau semasa berbahas.

1.3.2 Susunan

Cetusan idea yang tersusun dalam satu-satu teks ucapan itu akan menggambarkan imej seorang pengucap sama ada berada dalam keadaan bersedia untuk berucap atau sebaliknya. Nuraini Yusoff et al. (2005) mendefinisikan susunan sebagai satu proses yang melibatkan susunan dalam teks pengucapan. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan dalam proses penyusunan sesebuah teks untuk menyampaikan sesuatu maklumat, seperti persediaan menyediakan latar belakang sesebuah tajuk dengan maklumat yang terperinci, menyata dan membuktikan kajian atau idea dengan fakta dan bukti yang tepat, mengambil kira dan pengetahui keseluruhan kajian serta membuat satu kesimpulan yang boleh dijadikan panduan. Susunan yang baik mampu melahirkan teks yang dapat menarik minat pendengar atau khalayak.

1.3.3 Gaya

Gaya merujuk kepada kebijaksanaan memilih dan menyusun ayat dengan efektif. Kebijaksanaan menggunakan gaya membolehkan proses penyusunan idea menjadi lebih jelas, menarik dan sesuai dengan situasi yang dilalui. Kemampuan mengolah teks dan penguasaan yang baik dalam aspek bahasa akan membantu seseorang untuk menyampaikan maklumat dengan baik dan menyakinkan. Setiap dalam kalangan kita sebenarnya mempunyai gaya penyampaian yang berbeza-beza. Oleh itu, tiada satu peraturan yang ditetapkan dalam penentuan dan penyampaian gaya seseorang. Ia banyak bergantung kepada apa yang dicadangkan serta dijadikan petunjuk dan idea sahaja.

1.3.4 Ingatan

Sebelum manusia mahir dalam penulisan dan pembacaan, ingatan digunakan untuk mengingati segala ilmu terdahulu dari turun-temurun secara lisan. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa daya ingatan digunakan untuk menceritakan semua perkara yang berlaku. Ingatan ialah kemampuan seseorang dalam mengingat setiap perkara yang ingin diperkatakan ketika dalam pengucapan. Ingatan dalam sebuah pengucapan bermula ketika seorang pengucap itu berucap dengan menyusun kesemua bahan dan idea. Kecanggihan teknologi telah mendorong penciptaan pelbagai alatan elektronik untuk membantu proses ingatan. Umpamanya penggunaan Microsoft Powerpoint dalam pembentangan sesuatu kertas kerja bukan sahaja dapat membantu pengucap menerangkan sesuatu perkara dengan lebih berkesan, malah pendengar boleh melihat pelbagai catatan melalui slide yang ditayangkan.

1.3.5 Penyampaian

Penyampaian penting dalam semua bentuk pengucapan awam. Gaya penyampaian yang kurang menarik akan menyebabkan sesuatu tajuk besar yang hendak disampaikan menjadi hambar dan kurang berkesan. Pengucap yang baik mestilah mengetahui cara penyampaian yang betul supaya apa yang ingin disampaikan kepada khalayak dapat mempengaruhi mereka. Latihan yang kerap boleh membantu seseorang pengucap menyampaikan hujahnya dengan baik dan yakin.