Jumaat, 19 April 2013
Kaedah Fonetik
Merupakan kaedah asas membaca yang menekankan hubungan antara huruf (simbol) dengan bunyi. Kaedah ini amat sesuai untuk mengajar membaca kepada kanak-kanak yang baru mengenal huruf. Penggunaan kaedah lain bukan sahaja tidak sesuai untuk kanak-kanak peringkat ini, malah menyusahkan kerana lambat untuk menguasainya, mengelirukan dan membebankan memori mereka.
Konsep Kaedah Fonetik
Membaca mengikut kaedah fonetik memerlukan seseorang murid itu bersedia lebih awal seperti mengetahui bunyi-bunyi huruf, boleh menyebutnya dengan baik serta dapat mengingatinya dalam tempoh yang lama. Seterusnya mereka perlu kenal huruf berkenaan dari segi bentuk, rupa dan cara menulis huruf tersebut di samping dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang dilafazkan.
Lazimnya seorang kanak-kanak yang normal boleh mengecam dan membezakan bunyi dan bentuk seawal usia tiga tahun. Penggunaan teknik yang betul membolehkan kanak-kanak mengenal bunyi dan mengaitkannya dengan bentuk huruf yang ditunjukkan kepada mereka dengan cepat dan pantas. Mereka juga dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Sehubungan dengan itu, apabila anak-anak melihat huruf ‘ani’, dia akan menyebut bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).
Satu lagi teknik mengajar bunyi yang boleh diperkenalkan guru adalah menggunakan asosiasi, iaitu asosiasi bunyi dan asosiasi gambar. Contoh asosiasi bunyi; untuk membunyikan ‘aa’, guru bolehlah mengaitkannya dengan beberapa peristiwa yang berlaku di persekitaran murid-murid seperti terkena makanan panas, iaitu melalui jeritan ‘aaaaaaa panasnya’, bunyi ‘ee’ dikaitkan dengan rasa geli dan jijik melihat kotoran, iaitu ‘eeeeeeee kotornya’ atau bunyi ‘oo’ dikaitkan dengan bunyi ‘ooooooo macam tu’ sebagai tanda setuju terhadap sesuatu tindakan yang disenangi dan sebagainya. Manakala asosiasi gambar pula, guru bolehlah menggunakan kad imbasan seperti gambar ayam untuk bunyi ‘aa’, gambar emak untuk bunyi ‘ee’ dan sebagainya. Melalui teknik asosiasi ini, murid-murid dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan.
Guru juga tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekali gus tetapi memadai dengan beberapa bunyi asas dahulu. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal, maka wajarlah bunyi-bunyi ‘a’, ‘i’, ‘u’ diperkenalkan terlebih dahulu. Hal ini kerana, ‘a’, ‘i’, ‘u’ lebih banyak penggunaannya berbanding ‘e’, dan ‘o’. Manakala bunyi-bunyi konsonan yang perlu diperkenalkan dahulu dan mudah ialah seperti ‘k’, ‘s’, ‘t’, ‘d’, ‘r’, ‘l’, ‘m’, ‘g’ dan ‘n’. Justeru, guru perlu perkenalkan bunyi-bunyi yang senang disebut oleh murid-murid terlebih dahulu berbanding bunyi sukar.