Jumaat, 3 Ogos 2012

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

SIRI NOTA KULIAH BMM 3112

1.0 PENGENALAN

Sejarah perkembangan Bahasa Melayu perlu dilihat dari sudut etimologi kata “Melayu”. Asal usul perkataan ini sebenarnya masih belum disahkan oleh ahli sejarah. Apa yang dapat dilakukan ialah meneliti beberapa bukti yang dapat dikaitkan dengan kata Melayu, iaitu catatan Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja Cina sekitar tahun 644-645 Masihi. Ada juga yang berpandangan bahawa kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera yang diberikan namanya berdasarkan sebatang sungai bernama Sungai Melayu. Satu catatan orang Cina ialah seorang sami Buddha yang bernama I-Tsing menggunakan perkataan tersebut apabila menceritakan tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar tahun 675 Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno pula, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara. Ini dapat dikaitkan dengan kedatangan Indo-Melayu (Austronesia) yang dikatakan bergerak dari Yunan ke Tanah Melayu.

Istilah Melayu dapat dilihat dari dua segi, iaitu pengertian yang sempit dan pengertian yang luas (Asmah,1985:37). Bagi pengertian pertama, istilah ini merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di semenanjung Tanah Melayu dan kawasan tradisional yang disebut sebagai gugusan pulau-pulau Melayu, yakni pulau-pulau yang meliputi Indonesia hari ini.

Pada tahun 1972, pertubuhan UNESCO telah memilih istilah Melayu bagi merujuk kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera dan beberapa tempat lagi yang berdekatan. Bahasa yang digunakan oleh penduduk di kawasan ini ialah Bahasa Melayu. Bahasa ini menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia, manakala di Indonesia dikenal pula sebagai Bahasa Indonesia yang merupakan bahasa kebangsaan di negara itu juga.
1.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU
Beberapa orang sarjana bahasa Barat telah membuat penyelidikan tentang bahasa-bahasa yang tersebar di kepulauan Melayu dengan membandingkan antara satu bahasa dengan bahasa yang lain. Antara pengkaji yang terkenal termasuklah R.H. Geldern, J.H.C. Kern, Wilhem Von Humboldt, Van Der Tuuk, Otto Demwolff, P.W. Schmidt, Brandstetter, William Marsden dan lain-lain. Sarjana tempatan yang turut memberi sumbangan terhadap usaha ini ialah Asmah Haji Omar, Amat Juhari Moain, Harun Aminurrashid, Ismail Hussien dan lain-lain.
Bangsa Melayu dikatakan berasal dari Asia Tengah atau dari Nusantara (kepulauan Melayu). Ini berdasarkan dua teori yang dikemukakan oleh para pengkaji, iaitu R.H. Geldern, iaitu seorang ahli pengkaji prasejarah yang mengatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Asia Tengah berdasarkan kajian yang dibuat terhadap kapak tua (beliung batu) yang ditemui. Kapak tua tersebut ditemui di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Hwang, Salween dan Yangtze yang didapati serupa dengan kapak tua yang ada di kawasan Nusantara. Beliau menyimpulkan bahawa kapak tua di Nusantara itu dibawa oleh masyarakat dari Asia Tengah bersama-sama dengan bahasanya sekali.
Pengkaji seterusnya ialah J.H.C. Kern, seorang ahli filologi Belanda juga mengatakan bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Asia Tengah berdasarkan persamaan beberapa perkataan. Beliau mendapati ada beberapa perkataan yang terdapat di kepulauan Nusantara itu terdapat juga di Madagaskar, Taiwan, beberapa pulau di kepulauan Pasifik dan di Filipina. Beliau juga mendapati bahawa perkataan yang digunakan berasal daripada induk yang sama, iaitu Asia.

Selain dua tokoh tersebut, William Marsden yang membuat kajian terhadap Bahasa Melayu mendapati Bahasa Melayu dan bahasa Polinesia itu merupakan bahasa serumpun. Pendapat yang kedua mengatakan bahawa bangsa Melayu itu berasal dari Nusantara yang bermaksud Bahasa Melayu itu bermula dari Nusantara. Dalam kajian ini, istilah filum digunakan bagi menggambarkan kelompok bahasa yang menjangkau lebih 5,000 tahun.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji, Bahasa Melayu didapati tergolong dalam filum bahasa-bahasa Austris yang mempunyai tiga rumpun utama: Bahasa Austroasia, Tibet-China dan Austronesia (Rajah 1.1).
Rajah 1.1: Pembahagian Filum Austris
1.1.1 Keluarga Bahasa-Bahasa Austronesia
Perkataan Austronesia merupakan gabungan dua perkataan, iaitu austro dan nesos. Perkataan w berasal daripada bahasa Latin, yang bermaksud selatan; manakala perkataan nesos berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud pulau. Oleh itu, istilah austronesia membawa pengertian “pulau-pulau selatan” (Asmah,1985:35). Istilah ini diperkenalkan oleh P.W. Schmidt, manakala istilah Malayo-Polenesia digunakan oleh Wilhem von Humboldt, ahli bahasa yang telah mengkaji aspek keserumpunan bahasa antara Bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa di daerah Polinesia. Bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa yang tergolong dalam satu filum Bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet–China. Istilah rumpun digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang mempunyai tempoh masa antara 2,500 – 5,000 tahun.
Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat rumpun, iaitu bahasa-bahasa di kepulauan Melayu (Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia (bahasa-bahasa di Hawaii, Tonga dan New Zealand iaitu di kalangan bangsa Maori), Melanesia (bahasa-bahasa di Fiji, Irian dan New Caledonia), dan Mikronesia (bahasa-bahasa di kepuluan Gilbert, Carolina, Marshall dan Marianna) (Rajah 1.2).
F1.2
Rajah 1.2 : Pecahan Rumpun Bahasa Austronesia
1.1.2 Rumpun Bahasa Melayu
Bahasa Melayu tergolong dalam keluarga Nusantara di bawah rumpun Bahasa Austronesia. Asal-usul Bahasa Melayu adalah dari filum Austris. Filum Austris terpecah kepada tiga rumpun bahasa yang besar iaitu rumpun Austroasia dan rumpun Austronesia (dulu dikenali sebagai Malayo-Polinesia), dan rumpun Tibet-China. Rumpun Austronesia pula dipecahkan kepada empat keluarga, iaitu Indonesia (Nusantara), Melanesia, Mikronesia dan Polinesia (Rajah 1.2). Dalam keluarga bahasa Nusantara terdapat kira-kira 200 hingga 300 bahasa. Namun begitu, bahasa-bahasa tersebut dikelaskan kepada golongan tertentu seperti golongan Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Muna-Butung, Gorontalo, Tomini, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi selatan, Bima-Sumba, Ambon-Timul, Sula-Bacon, dan Halmahera selatan-Irian Jaya. Bahasa Melayu tergolong ke dalam kumpulan bahasa Sumatera.

Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur-penutur Bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Mereka datang dari daerah Yunan dan telah turun dalam dua gelombang pergerakan ke wilayah Asia Tenggara. Golongan pertama disebut Melayu Proto yang datang sejak tahun 2,500 sebelum Masihi. Tidak dijelaskan mengapa mereka berpindah. Mereka tinggal di kuala-kuala sungai dan pantai untuk memudahkan kerja-kerja mencari makan. Golongan kedua disebut Melayu Deutro yang datang kira-kira dalam tahun 1,500 sebelum Masihi. Perpindahan mereka juga tidak dapat dipastikan sebab-sebabnya. Melayu Deutro ini telah berpindah mengikut jalan dan laluan yang dilalui Melayu Proto. Apabila sampai di selatan mereka mendesak golongan pertama ke daerah pinggiran, ke hulu sungai, ke kawasan gunung atau ke tempat-tempat yang terpencil, manakala Melayu Deutro tinggal di kawasan tanah pamah, tanah rendah, lembah sungai dan di tepi laut.

Selain daripada itu, terdapat teori yang menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Tanah Besar Asia Tenggara. Pendapat ini didukung oleh pengkaji-pengkaji Barat. H. Kern menyatakan bahawa penduduk di kepulauan Asia Tenggara berasal dari Assam, di bahagian timur negara India. Beliau membuat kesimpulan demikian lantaran terdapat persamaan-persamaan adat resam beberapa suku di Sumatera dan Borneo dengan suku-suku di Assam seperti suku Naga di India. Henry Yule pula berpendapat seperti J.R. Logan iaitu tentang wujudnya persamaan adat resam antara penduduk-penduduk di daratan Asia Tenggara dengan yang terdapat di kepulauan Melayu. Persamaan-persamaan ini menunjukkan bahawa mereka adalah daripada keturunan yang sama.

Berdasarkan kajian-kajian ini boleh dikatakan bahawa penduduk-penduduk kepulauan Asia Tenggara hingga ke Lautan Teduh berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Tetapi tidak dapat dipastikan dari mana. Ada yang mengatakan dari Yunan, di barat daya negeri China; dari Assam, India; dari Asia Tengah; dan ada juga yang mengatakan dari bahagian selatan tanah besar Asia Tenggara. Seorang lagi sarjana yang membuat kajian perbandingan bahasa ialah Mees. Beliau membuat kajian bertitik tolak daripada pembahagian oleh Schmidt dengan sedikit perubahan dan data yang lebih perinci. Menurut Mees lagi, bahasa dan dialek di Tanah Melayu tidak dapat tidak, mempunyai hubungan dengan bahasa yang digunakan di pantai Timur Sumatera, iaitu Bahasa Melayu. Malah, daerah Bahasa Melayu di luar Tanah Melayu merangkum kepulauan Riau, Palembang, Kampar, Jambi dan Medan. Bahasa Melayu-Sriwijaya memperlihatkan sisa-sisa tua daripada salah satu Bahasa Austronesia berdasarkan prasasti yang terdapat pada batu bersurat Talang Tuwo bertarikh 680 Masihi. Di bahagian utara pula, terdapat kelompok bahasa Aceh, bahasa Batak seperti Karo, Toba, Simalungan, dan Angkola-Mandiling, Nias, Mentawai, Minangkabau dan Lampung.
Rajah 1.3: Keluarga Bahasa Melayu
Istilah keluarga digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang kurang daripada 2,500 tahun. Berdasar Rajah 1.3, kita dapati bahawa keluarga Bahasa Melayu juga mempunyai pecahannya tersendiri. Kumpulan Bahasa Melayu Johor mempunyai induknya yang bermula daripada Bahasa Melayu Johor kemudian Bahasa Melayu Tengah sebelum ke Bahasa Melayu induk yang dikatakan berasal daripada Bahasa Melayu Proto yang juga merupakan kumpulan Bahasa Austronesia.

Daripada keluarga Indonesia (Nusantara), Bahasa Melayu terpecah kepada 16 subkeluarga atau bahasa, iaitu Bahasa Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Gorontalo, Tomini, Toraja, Loinang, Bunku-Laki, Sulawesi Selatan, Muna-Butung, Bima-Sumba, Ambon-Timur, Sula-Bacon, Halmahera Selatan-Irian Jaya. Dalam subkeluarga Sumatera termasuk Bahasa Aceh, Batak, Minangkabau, Melayu, Nias, Lampung, dan orang Laut.
Osman Omar (1961:3) mengatakan bahawa percabangan Bahasa Indonesia begitu tersebar luas kerana dikembangkan oleh suku bangsa yang seketurunan dengan bangsa Melayu dan penyebaran ini terjadi disebabkan sifat semula jadi bangsa Melayu sendiri sebagai ahli pelayaran dan perantau yang masyhur. Ciri-ciri pelaut dan perantau bangsa Melayu ini mengakibatkan berlakunya dua pertembungan penting pada induk Bahasa Indonesia menjadi berbagai-bagai bahasa lain. Menurut Asmah (1985) kawasan penyebaran bahasa-bahasa Indonesia dianggap sebagai pusat keseluruhan kawasan Austronesia atas beberapa sebab. Antara lain, keluarga bahasa ini melebihi mana-mana keluarga bahasa dari segi bentuk-bentuk bahasanya. Malah daripada keluarga bahasa inilah terdapatnya Bahasa Melayu, iaitu bahasa yang pesat perkembangannya sehingga dijadikan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Malah kerajaan yang memerintah alam nusantara semuanya terdapat di kawasan Indonesia, misalnya Kerajaan Sriwijaya-Melaka dan kerajaan Melayu-Johor.

Hal ini diperjelaskan oleh Ismail Hussien (1948:5) yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu. Oleh sebab bentuknya yang amat sederhana dan kemungkinan menerima unsur asing dan sifatnya yang dapat dilentur buat memenuhi keperluan semasa, maka jadilah Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang terpenting dalam sejarah bahasa-bahasa di kepulauan Melayu. Ahli bahasa membahagikan perkembangan Bahasa Melayu kepada beberapa tahap, iaitu:
i) Bahasa Melayu Kuno
ii) Bahasa Melayu Klasik
iii) Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang besar jumlahnya dibandingkan dengan bahasa lain seperti Bahasa Jawa atau Bahasa Tagalog. Bahasa Melayu Purba dikatakan wujud pada zaman prasejarah namun tidak ada bukti yang bertulis pada masa itu.