Khamis, 16 September 2010

Nota BM Kontekstual - Kepentingan Pencerapan

Kepentingan Proses Pencerapan

Apabila anda bertemu rakan baru di tempat kerja, lazimnya anda lebih banyak memerhati, menganalisis dan membuat rumusan sendiri tentang kesesuaian untuk berkawan dengannya. Jika minat sama, usia sebaya, hobi atau falsafah hidupnya sesuai dengan diri anda, ada kemungkinan anda dan rakan baru itu menjadi rakan baik yang mesra kemudiannya. Atau semasa anda menghadiri sesi temu duga, sebenarnya anda sedang melalui proses pencerapan oleh panel penemu duga. Jadi semua peristiwa ini merupakan sebahagian daripada proses pencerapan yang sedang kita perkatakan ini.
Noresah Baharom et al. (2002) telah memberikan maksud pencerapan sebagai “proses memerhatikan, mengendahkan, menaruh minat, menerima sesuatu dalam hati dengan pancaindera, dan menanggap”. Malah Hunt (1987) telah menyenaraikan empat faktor keperluan yang menyebabkan proses mencerap itu berlaku, iaitu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, supaya hubungan peribadi menjadi lebih berkesan, untuk memngumpul data sebelum membuat keputusan yang tepat dan untuk tujuan memberikan maklum balas.

1.4.1 Konsep mencerap [B]
Noresah Baharom et al. (2002) mentakrifkan perkataan mencerap itu sebagai “memerhatikan, mengendahkan, menaruh minat, menerima sesuatu dalam hati dengan pancaindera dan menanggap” (hlm. 232). Malah Nuraini Yusoff et al. (2005) berpendapat, ‘dalam kehidupan sehari-hari, kita sebenarnya lebih banyak mencerap daripada bercakap. Justeru, mencerap seharusnya dijadikan aktiviti utama perutusan’ (hlm. 40).
Justeru, mencerap dalam konteks ini merupakan satu aktiviti yang melibatkan proses memerhati, menaruh minat, memperhatikan, melihat dengan menggunakan panceindera dan berfikir menggunakan pemikiran kritis sebelum membuat keputusan untuk melakukan tindakan atau perubahan.

1.4.2 Keperluan mencerap [B]
Kenapa mencerap penting? Malah Hunt (1987) telah menyenaraikan empat faktor keperluan yang menyebabkan proses mencerap itu berlaku, iaitu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, supaya hubungan peribadi menjadi lebih berkesan, untuk memngumpul data sebelum membuat keputusan yang tepat dan untuk tujuan memberikan maklum balas.

1.4.3 Proses Pencerapan [B]
Satu daripada kemahiran menyampai maklumat yang penting ialah mencerap. Orang yang mahir mencerap dianggap sebagai komunikator yang berkesan. Malah satu daripada ciri seorang pemimpin yang berjaya selalunya dikaitkan kepada kebolehan melakukan pencerapan secara empatu terhadap ahli masyarakat yang dipimpin. Walau bagaimanapun, tidak semua pemimpin mampu mencerap dengan baik. Malah ada segelintir pemimpin yang mengamalkan beberapa perkara yang tidak beretika seperti berpura-pura mencerap semasa aduan dikemukan kepada mereka. Fikirannya mungkin melayang ke tempat lain, walaupun mimik muka dan matanya seolah-olah sedang mencerap dengan teliti.
Tabiat buruk kedua, pencerapan penting diri (Stage Hogging), iaitu orang yang mencerap sentiasa mengubah perbualan kepada topik mengenai dirinya. Dia sebenarnya tidak mempedulikan atau tidak langsung menumpukan perhatiannya kepada topik yang diperkatakan oleh temannya. Satu lagi sifat orang yang mencerap sebegini ialah dia sering mencelah atau mengganggu orang yang sedang bercakap.


1.4.4 Jenis pencerapan [B]
Terdapat dua jenis pencerapan, iaitu pencerapan secara empati dan pencerapan secara kritis seperti berikut:

Pencerapan secara empati [C]
Pencerapan yang baik ialah pencerapan yang mempunyai perasaan berempati. Pencerapan secara empati bermaksud satu kaedah mencerap yang memerlukan pencerap mengambil perhatian yang tulen dan berfokus dari pelbagai perspektif dan perasaan orang yang dicerapnya. Ada empat prinsip melakukan pencerapan secara empati, iaitu:

(a) Meletakkan diri pada sudut pandangan orang yang dicerap.
Pencerap yang tulen sepatutnya boleh meletakkan dirinya pada sudut pandangan orang yang dicerapnya dan mampu merasai perasaan dan fikiran orang itu.

(b) Perlukan hubungan yang rapat.
Pencerapan berempati tidak mudah diaplikasikan terutamanya jika kita tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan orang yang kita cerap. Oleh itu, sifat empati seolah-olah menjadi pengukur kepada hubungan antara dua orang yang berinteraksi.

(c) Kemahiran perlu dipelajari.
Pencerapan berempati perlu dipelajari dan bukannya diwarisi. Namun begitu, sebagai manusia biasa yang lazimnya lebih tertumpu kepada kepentingan diri sendiri, kita gagal mengamalkan pencerapan berempati secara jujur. Keadaan ini boleh terjadi apabila orang yang melakukan pencerapan akan berpura-pura empati semasa proses menyampai maklumat.

(d) Berguna dalam bidang kaunseling.
Pencerapan jenis ini banyak diaplikasikan oleh kaunselor sama ada di sekolah atau di jabatan kerajaan dan kesan penggunaanya amat baik dan berkesan. Pencerapan secara empati membolehkan pencerap iaitu kaunselor mendalami masalah kliennya sebelum memandu mereka menyelesaikan masalah.


Pencerapan secara kritis [C]
Berbeza dengan pencerapan secara empati, pencerapan secara kritis bermaksud proses mencerap yang banyak menggunakan akal fikiran dengan membuat membuat banding beza, menciri, menganalisis, menilai sebelum sesuatu keputusan atau tindakan dibuat oleh pencerap.
Menurut Hunt (1987) proses mencerap secara kritis sebenarnya hanya boleh dilakukan setelah pencerap itu benar-benar memahami mesej yang diterima daripada pengucap. Ada empat prinsip mencerap secara kritis, iaitu:

(a) Pastikan pengucap menggunakan dokumen sokongan.
Ini penting supaya pengucap bertanggung jawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan. Dalam masa yang sama penggunaan bahan sokongan dan dokumen yang mencukupi dapat membantu dari segi kesahihan dan keesahan fakta yang digunakan.

(b) Pengucap mewakili bidang kepakarannya.
Ini penting supaya orang yang melakukan pencerapan benar-benar memperoleh maklumat yang diperlukan. Maklumat boleh dalam bentuk dapatan kajian dan hasil penemuan baru menerusi penyelidikan atau maklumat sedia ada yang diulang sebut bagi tujuan mengingat semula atau mengulangkaji kemahiran dan pengetahuan tertentu.

(c) Kredibiliti pengucap.
Ini merujuk kepada kemampuan pengucap mengupas, menganalisis dan mengolah isi-isi beserta hujah-hujah penting semasa memperkatakan tajuk yang dibincangkan agar pencerap memperoleh fahaman yang jelas dan meyakinkan. Pengucap juga perlu memperlihatkan perwatakan yang menyakinkan dan kredibiliti mengenai sesuatu tajuk yang dibincangkan. Jika ini berlaku tentulah keyakinan pencerap terhadap pengucap akan tinggi dan tidak meragukan.

(d) Pengucap perlu paparkan fakta.
Pengucap perlu memperincikan fakta yang diucapkan berserta contoh supaya pencerap yakin dengan apa yang diperkatakan. Sekiranya kenyataan pengucap tidak berasas, maka sebagai pencerap yang kritis anda berhak meraguinya dan tidak meneruskan pencerapan yang dianggap buang masa.

Mencerap secara kritis hanya boleh berlaku apabila orang yang melakukan pencerapan itu benar-benar faham mengenai tanggung jawabnya sebagai pencerap yang bertanggung jawab. Selain itu pencerap juga perlu faham dengan sedalam-dalamnya, akan mesej yang diterima daripada seorang pengucap. Maknanya jika pencerap masih gagal membaca mesej yang hendak disampaikan bermakna matlamat melakukan pencerapan jenis ini tidak tercapai dan sukar dilaksanakan. Pencerapan secara kritis sebenarnya membantu khalayak memahami mesej yang disampaikan, membuat pertimbangan dan banding beza sebelum keputusan dibuat.


1.4.5 Panduan memperbaiki pencerapan [B]
Terdapat segelintir yang mempunyai bakat semula jadi dan kepakaran yang tinggi untuk mencerap. Walau bagaimanapun tidak semua pencerap yang berpeluang memiliki kemahiran tersebut. Berikut dinyatakan beberapa panduan yang boleh diikuti untuk memperbaiki mutu pencerapan bagi seorang pengucap.

(a) Membentuk keinginan untuk melakukan pencerapan.
Ini penting kerana dengan adanya keinginan ini akan membuatkan seseorang lebih bersedia dan peka dengan peristiwa di sekelilingnya. Pada waktu yang sama dapat membentuk tabiat mencerap yang baik dan bertanggung jawab. Ini dapat mengelakkan tabit mencerap secara sambil lewa atau tidak berfokus.

(b) Sentiasa fokus dan memberikan perhatian.
Pencerap hendaklah fokus terhadap proses menyampai maklumat yang sedang berlangsung. Jika anda berhasrat untuk melakukan pencerapan terhadap rakan yang sedang menyampaikan ceramah kerjaya, maka tumpukan kepada ceramah dan sentiasa fokus atau melakukan aktiviti sampingan lain, walaupun mesej yang hendak disampaikan itu bukan ditujukan kepada pencerap.

(c) Berfikirlah secara kritis.
Penekanan terhadap aspek memberikan perhatian semata-mata bukanlah penentu utama kita membuat penilaian ini. Berfikir secara kritis penting bagi menghasilkan pencerapan yang bermutu dan menyakinkan. Gunakan kecekapan berfikir dengan sepenuhnya semasa proses menyaring maklumat yang diperlukan sebelum membuat keputusan.

(e) Meletakkan diri dalam situasi orang dicerap.
Pencerap yang tulen sepatutnya boleh meletakkan dirinya pada sudut pandangan orang yang dicerapnya dan mampu merasai perasaan dan fikiran orang itu.

(d) Mendahulukan maklumat utama.
Idea dan maklumat yang diperoleh semasa proses mencerap tidak semuanya sesuai diketengahkan. Utamakan maklumat utama kemudian disokong beberapa maklumat sampingan