Saya sering mendengar ungkapan 'Negeri Sembilan Negeri Beradat'. Persoalannya, adakah negeri-negeri lain tiada beradat? Inilah persoalan yang dikupas oleh YBhg. Dato' Andika Pendeta Norzali Ibrahim di Program Sehari Bual Bicara Perkahwinan Melayu di Muzium Adat Jelebu, baru-baru ini. Negeri Johor, Selangor, Perak, Kedah dsb. sebenarnya mempunyai adat sendiri. Johor umpamanya mengamalkan Adat Temenggong, Perak mengamalkan adat 99 Melayu dan sebagainya. Persoalan kedua yang dikupas ialah, sesiapa yang berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan akan tinggal sehelai sepinggang bila berpisah. Tetapi sebenarnya tidak begitu kerana Negeri Sembilan mengutama kaum wanita dari segi agihan harta pusaka dan harta sepencarian dibahagi sama rata bila berlaku perceraian. Dalam majlis tersebut, YBhg. Dato' Seri Maharaja Khalid Bonget pula menjelaskan empat tujuan adat merisik dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan. Pertama - hendak menentukan sama ada anak dara, janda atau isteri orang. Kedua - bukan tunangan orang. Ketiga - bukan suku yang sama dan keempat, tahu keturunannya. Keturunan merujuk kepada kecantikannya, kekayaannya, keilmuannya. Untuk itu Dato' Khalid menggunakan ungkapan 'Pilih isteri tu, biarlah boleh bersenduk tengah laman'. Maknanya sopan santuan, lemah lembut dan cantik mata memandang. Demikian, pengalaman sehari menghadiri Program Bual Bicara Perkahwinan Melayu. Tahniah kepada penganjur.