Ahad, 29 Ogos 2010

Buka puasa bersama pelajar persediaan KMS


Kawan-kawan sekuliah Izzati seramai 6 orang telah berbuka puasa di rumah baru-baru ini. Mereka terdiri 5 orang yang sedang buat Persediaan TESL dan seorang Persediaan Perubatan di Kolej Mara Seremban. Kepada semua, terima kasih kerana sudi datang.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Semangat merdeka... Marilah kibarkan bendera di kediaman


Semangat Merdeka. Rumah kediaman saya dan keluarga di Vila Suria turut dipasang Jalur Gemilang sebagai tanda terima kasih kami kepada Malaysia.

Sabtu, 21 Ogos 2010

Bekerja dan terus bekerja ... demi agama, bangsa dan negara

Tugas harian sebagai Pensyarah Akademik dan Ketua Unit di Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar, Seremban.

Terima kasih semua rakan dan sahabat

Tanggal 19 Ogos 2010 lalu, saya menerima surat rasmi daripada pihak pengurusan institut yang memaklumkan bahawa saya terpilih sebagai salah seorang penerima APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) bagi tahun 2009 lalu. Upacara akan di sempurnakan oleh Pengarah IPG Kampus Raja Melewar, pada 23 Ogos 2010 jam 2.30 petang. Terima kasih kepada pihak pengurusan, Ketua Jabatan dan rakan-rakan pensyarah sekalian. Tahun 2010 adalah tahun yang penuh rahmat dan kesejahteraan bagi saya dan keluarga. Sebelum ini, anak sulung telah dipilih oleh MARA untuk menerima tajaan program Pelajar Cemerlang ke New Zealand. Syukur alhamdulillah dan terima kasih Allah SWT.

Khamis, 19 Ogos 2010

Selamat berpuasa ...

Selamat berpuasa kepada semua Umat Islam. Lama juga saya tak ke udara dengan cerita-cerita di laman sesawang ini. Sebenarnya dalam tempoh seminggu dua ini, saya benar-benar sibuk kerana terpaksa menyiapkan buku Bahasa Melayu Literasi yang diterbitkan oleh Oxford Fajar. Janji saya akan serahkan draf pertama sebelum raya akan datang ini. Perkara kedua, yang benar-benar membuatkan saya stres dan tertekan adalah tugasan di OUM. Menyemak tesis, proposal dan assignment pelajar yang perlu disiapkan segera. Begitulah pusingan hidup saya dalam tempoh dua, tiga minggu ini...

Jumaat, 23 Julai 2010

Menjelang Persaraan Pengarah IPGKRM



Tanggal 9 Ogos akan datang ini, maka berakhirlah secara rasmi perkhidmatan Hjh. Asmah Yahya sebagai Pengarah IPG Kampus Raja Melewar dan perkhidmatan kerajaan. Sepanjang saya mengenali beliau, Hjh. Asmah seorang insan yang 'tawadduk' dan sederhana dalam semua aspek termasuk sewaktu menjadi orang nombor satu IPGKRM. Yang penting beliau seorang yang 'sporting' di mana beliau sudi mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan seperti 'mengoca ikan' 'tarik upih' dll. Terima kasih di atas sokongan tuan terhadap semua aktiviti yang dianjurkan JPM termasuk beberapa program besar seperti 'Jejak Budaya 1-3', 'Bulan Bahasa Kebangsaan' dan sebagainya. Apa pun 'Selamat Bersara' daripada saya dan keluarga khas buat Hjh. Asmah Yahya.

Khamis, 22 Julai 2010

Sekitar Pendaftaran Program Persediaan Izzati



Alhamdulilah, akhirnya impian untuk melihat Izzati belajar peringkat persediaan Ijazah Luar Negara tercapai apabila MARA menawarkan beliau tempat dan tajaan. Kalau tiada apa halangan, insyallah pada 2012 Izzati akan ke New Zealand mengikuti kursus TESL di sana selama empat tahun. Tamat pengajian kerja dah sedia iaitu sebagai guru Bahasa Inggeris di MRSM. Apapun terima kasih MARA dan Syukur Alhamdulillah.....

Rabu, 14 Julai 2010

Tahniah Isteri .... Tahniah Anak Bongsu...



Tahniah kepada isteri dan anak (Wani) yang menyertai Team SK Panchor ke Pertandingan EUREKA peringkat Negeri Sembilan, di SM Teknik Port Dickson baru-baru ini. Team SKP telah merekacipta rumah masa depan, menggunakan tenaga solar. Team bawah bimbingan isteri tersayang telah memperoleh tempat ke-3. Tahniah dan syabas... khabarnya Wani menjadi orang kuat di sebalik kemenangan tersebut... SKP Boleh ! Lihatlah rumah tu.. terasa nak masuk je ke dalamnya..

Isnin, 12 Julai 2010

Bertemu Pensyarah Lama


Semasa saya ke D'Muara Marine Park Sungai Besar baru-baru ini kerana menyampaikan ceramah bertajuk Didik Hibur, saya telah ditemukan dengan pensyarah Teknologi Pendidikan sewaktu saya belajar Kursus Penguruan Asas di IPSI kira-kira 21 tahun yang lalu. Beliau yang dimaksudkan ialah Cik Hajah Rosnah Mohd. Noor yang kini sebagai Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Kuala Lumpur. Begitulah hebatnya kuasa Allah, walaupun telah 21 tahun tidak pernah berjumpa, namun Hjh. Rosnah masih mengenali saya... Apa pun tahniah kepada KJ JPM IPG KPT yang dapat menganjurkan ceramah ini dengan jayanya.

Khamis, 8 Julai 2010

Kenapa Negeri Sembilan saja dilabel negeri beradat ?

Saya sering mendengar ungkapan 'Negeri Sembilan Negeri Beradat'. Persoalannya, adakah negeri-negeri lain tiada beradat? Inilah persoalan yang dikupas oleh YBhg. Dato' Andika Pendeta Norzali Ibrahim di Program Sehari Bual Bicara Perkahwinan Melayu di Muzium Adat Jelebu, baru-baru ini. Negeri Johor, Selangor, Perak, Kedah dsb. sebenarnya mempunyai adat sendiri. Johor umpamanya mengamalkan Adat Temenggong, Perak mengamalkan adat 99 Melayu dan sebagainya. Persoalan kedua yang dikupas ialah, sesiapa yang berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan akan tinggal sehelai sepinggang bila berpisah. Tetapi sebenarnya tidak begitu kerana Negeri Sembilan mengutama kaum wanita dari segi agihan harta pusaka dan harta sepencarian dibahagi sama rata bila berlaku perceraian. Dalam majlis tersebut, YBhg. Dato' Seri Maharaja Khalid Bonget pula menjelaskan empat tujuan adat merisik dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan. Pertama - hendak menentukan sama ada anak dara, janda atau isteri orang. Kedua - bukan tunangan orang. Ketiga - bukan suku yang sama dan keempat, tahu keturunannya. Keturunan merujuk kepada kecantikannya, kekayaannya, keilmuannya. Untuk itu Dato' Khalid menggunakan ungkapan 'Pilih isteri tu, biarlah boleh bersenduk tengah laman'. Maknanya sopan santuan, lemah lembut dan cantik mata memandang. Demikian, pengalaman sehari menghadiri Program Bual Bicara Perkahwinan Melayu. Tahniah kepada penganjur.

Sabtu, 3 Julai 2010

Ulang tahun dan usia semakin meningkat...


Tanggal 4 Julai 2010 telah membawa saya memasuki satu lagi tahap kedewasaan iaitu yang ke 45 tahun. Rakan-rakan dan anak-anak didik mula mengirimkan ucapan ke telefon bimbit seawal semalam lagi. Terima kasih kepada semua. Apa pun, tanyalah kepada diri sendiri apakah yang kita cari sepanjang hidup di dunia ini ? Gambar kanan diambil sekitar tahun 1987 ketika berusia 23 tahun.

Zatti genap seminggu bergelar siswa Uniten..

Hari ini (Sabtu - 3 Julai 2010) Nur Izzati genap seminggu sebagai siswa Universiti Tenaga Nasional, Kampus Putrajaya. Khabar yang diterima beliau baharu sahaja selesai menjalani Minggu Suaikenal dan dah mula dapat kawan baru. Harap Zatti gembira bersama rakan-rakan di Uniten. Inilah gambar terbarunya di FB.