Khamis, 2 Februari 2012

Penanda Wacana

Empat Fungsi Utama Penanda Wacana
Fungsi menunjukkan maksud:
a. Tambahan
b. Sebaliknya
c. Sebab; dan
d. ketika.
(a) Penanda Wacana untuk Menunjukkan Maksud Tambahan
Antara penanda wacana yang membawa maksud tambahan ialah:
(i) Ini bererti;
(ii) Sejajar dengan ini;
(iii) Pendek kata;
(iv) Justeru; dan
(v) Sebagai tambahan.
(b) Penanda Wacana untuk Menunjukkan Maksud Sebaliknya
Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud sebaliknya ialah:
(i) Sungguhpun;
(ii) Berbanding dengan;
(iii) Dalam masa yang sama;
(iv) Sebaliknya; dan
(v) Walau bagaimana sekalipun.
(c) Penanda Wacana untuk Menunjukkan Sebab
Antara penanda wacana bagi menunjukkan sebab ialah:
(i) Berdasarkan;
(ii) Berpegang pada;
(iii) Sekiranya begitu;
(iv) Akibatnya; dan
(v) Kesudahannya.
(d) Penanda Wacana yang Menunjukkan Maksud Ketika
Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud ketika ialah:
(i) Merujuk;
(ii) Berbalik kepada;
(iii) Akhirnya;
(iv) Sementara itu; dan
(v) Sejenak kemudian.

Isnin, 21 November 2011

WAJ3115 - Kedudukan BM dalam Perlembagaan

Perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu telah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan lagi. Dalam tempoh tersebut pelbagai halangan dan rintangan terpaksa dilalui sehinggalah bahasa Melayu berjaya dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara melalui peruntutan perlembagaan. Sebagai generasi yang lahir selepas merdeka ramai dalam kalangan kita tidak mengetahui sejarah kedewasaan bahasa Melayu yang penuh dengan rintangan dan cabaran ini.
Menurut Juriah Long (2002), Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 adalah titik permulaan berpindahnya kuasa pentadbiran Negeri-negeri Melayu daripada Raja-raja Melayu ke tangan pihak pentadbir Inggeris. Dasar kolonial Inggeris jugalah yang telah menukar pola demografi dan lanskap kependudukan di Tanah Melayu daripada wilayah yang dihuni oleh rumpun Melayu sahaja kepada wilayah yang didiami oleh pelbagai kaum, khususnnya imigran dari negeri China dan India yang membawa bersama-sama bahasa, agama dan kebudayaan mereka. Keadaan ini membawa kepada terbentuknya masyarakat majmuk yang mempunyai keunikannya tersendiri. Seterusnya melalui kuasa eksekutifnya, pentadbiran kolonial ini telah meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam bidang pendidikan dan urusan pentadbiran di Negeri-negeri Melayu. Bahasa Melayu terhad penggunaannya sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah Melayu dan beberapa buah maktab perguruan (kini dikenali Institut Pendidikan Guru). Bahasa Melayu juga hanya digunakan sebagai bahasa perhubungan tidak rasmi dalam kalangan penduduk di negara ini. Namun ia tetap kekal sebagai bahasa perdagangan di sektor informal.
Manakala Asmah Hj. Omar (2002) pula berpendapat dalam sejarah kewujudan bahasa Melayu sebenarnya tidak mengalami persaingan pada awalnya sehinggalah datangnya bahasa Inggeris. Sungguhpun sebelum kedatangan orang Inggeris, Melaka sudah dijajah oleh bangsa Portugis dan Belanda, tetapi bahasa Portugis dan bahasa Belanda tidak tersebar secara meluas dalam masyarakat Semenanjung Tanah Melayu. Lain halnya dengan bahasa Inggeris yang memperlihatkan penyebaran yang meluas melalui sistem persekolahan, pentadbiran-pentadbiran dan pergaulan antara individu, antara kaum dan juga dalam kaum.
Kemerosotan bahasa Melayu tidaklah kekal lama. Pada awal abad kedua puluh, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Nik Safiah Karim et al. (1994) menjelaskan bahawa pelbagai pihak seperti wartawan, sasterawan, budayawan, guru-guru Melayu, dan ahli politik berganding bahu memperjuangkan cita-cita murni ini. Akhbar dan majalah menjadi saluran utama untuk melaung-laungkan hasrat ini. Pertubuhan-pertubuhan bahasa dan sastera muncul seperti cendawan, masing-masing ghairah menyuarakan semangat baharu sama ada secara langsung atau tidak langsung. Perjuangan bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Bermula dari tarikh tersebut pelbagai usaha telah dijalankan untuk menjadikan cita-cita tersebut sebagai satu kenyataan. Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menyebut bahawa ”Bahasa kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu ...”
Dengan perakuan di atas, maka bermulalah era baharu bagi bahasa Melayu yang pada satu ketika dahulu pernah melalui zaman kegemilangannya dan menjadi lingua franca bagi seluruh daerah kepulauan Melayu. Menjadi bahasa kebangsaan negara baharu yang berdaulat, bahasa Melayu terpaksa mengalas beban tugas baharu iaitu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua tugas ini dipikul peringkat demi peringkat oleh bahasa Melayu sejak tahun 1957, ketika negara mencapai kemerdekaan.
Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu bukan lagi menjadi bahasa orang-orang Melayu sahaja tetapi sebagai bahasa rasmi bagi seluruh rakyat negara ini. Ini bermakna kaum-kaum lain yang mengaku sebagai warga negara Malaysia yang sah adalah pemilik mutlak bahasa Melayu ini. Untuk melihat bahasa ini terus dinamik dan berkembang dengan pesatnya maka penutur atau pemilik bahasa itu sendiri yang perlu mengguna bahasa dan memartabatkan bahasa tersebut di persada dunia. Jaminan yang termaktub dalam perlembagaan tidak akan bermakna sekiranya para penutur bahasa Melayu itu sendiri berasa kurang yakin untuk menggunakannnya. Di bawah ini dijelaskan dengan terperinci fungsi-fungsi bahasa Melayu dalam pelbagai konteks untuk memudahkan pemahaman para pelajar.

Sabtu, 29 Oktober 2011

BMM3105 - Pembelajaran berasaskan projek

Pembelajaran berdasarkan projek bukan sahaja mampu menjadikan alam pendidikan menjadi lebih berkesan tetapi juga lebih selesa, menarik dan berkualiti. Dalam melaksanakan pembelajaran berasaskan projek, murid-murid diberi tugasan tertentu sama ada secara individu atau kumpulan dan mengikut tahap kebolehan mereka.


Murid-murid kemudiannya perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber untuk menyiapkan projek yang diberi oleh guru. Laman web guru mata pelajaran atau laman web panitia mata pelajaran boleh digunakan untuk membantu para murid-murid mendapatkan bahan-bahan untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Semasa proses menyiapkan tugasan, murid-murid digalakkan sentiasa berhubung dengan guru.


Guru berperanan sebagai fasilitator dan satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah guru mesti memantau proses penyediaan projek oleh murid-murid secara berterusan. Guru hendaklah mempastikan diri mereka mudah diakses oleh murid-murid pada setiap masa dan untuk tujuan tersebut, penggunaan e-mel boleh dimaksimumkan. Langkah terakhir dalam teknik ini ialah pembentangan hasil tugasan. Komputer boleh digunakan sebagai salah satu alat untuk pembentangan. Semasa pembentangan, rakan-rakan sebaya digalakkan memberi pendapat, pandangan atau mengemukakan soalan. Ini akan menggalakkan pemikiran secara kreatif dan kritis dalam kalangan murid-murid.


Tajuk projek yang boleh diberi oleh guru untuk mata pelajaran Bahasa Melayu ialah menjalankan kajian teks tentang ciri-ciri dan asal usul pantun, syair, gurindam, seloka dan sajak. Projek yang diberi juga boleh berupa kajian kes misalnya tentang faktor-faktor yang menyebabkan murid-murid lemah dalam aspek penulisan Bahasa Melayu atau kajian tentang teknik pengajaran yang paling berkesan untuk kemahiran membaca. Projek yang diberi sama ada di sekolah rendah atau di sekolah menengah, memerlukan murid-murid menyediakan folio atau buku skrap berdasarkan topik yang diberi oleh guru.

Sabtu, 13 Ogos 2011

WAJ3104 - Aktiviti Pratulisan




Aktiviti Melukis di Udara, Pasir, Air dan Cermin





Ada tiga aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru di dalam bilik darjah, sebelum mengajar murid-murid menulis, iaitu:



1 Latihan melukis bentuk asas di udara
(a) Pastikan posisi guru dan murid betul.
(b) Pandu murid menggunakan jari telunjuk.
(c) Lakukan secara perlahan-lahan dan serentak.
(d) Sebut nama bentuk semasa melukis di udara.
(e) Lakukan secara berulang-ulang.

2 Latihan melukis bentuk asas di atas pasir
(a) Pandu murid menggunakan jari telunjuk.
(b) Lakukan secara perlahan-lahan dan serentak.
(c) Sebut nama bentuk semasa melukis di pasir.
(d) Latihan secara berulang-ulang.
(e) Gunakan dulang jika dilaksanakan dalam bilik darjah.



3 Latihan melukis di dalam air
(a) Boleh menggunakan bekas air seperti baldi dan lain-lain.
(b) Pandu murid menggunakan jari telunjuk.
(c) Lakukan secara perlahan-lahan dan serentak.
(d) Sebut nama bentuk semasa melukis.
(e) Latihan berulang-ulang untuk pengukuhan.







Rabu, 4 Mei 2011

Nota Literasi BM - Prinsip pemilihan lagu

Prinsip Pemilihan Lagu [B]

Pemilihan lagu yang baik banyak bergantung kepada aspek tahap kecerdasan, minat dan kebolehan murid. Antara panduan yang perlu diikuti semasa memilih lagu adalah:
(a) Lagu yang dipilih perlulah sesuai dengan suara dan tahap murid.
(b) Nadanya sederhana, iaitu tidak terlalu tinggi atau rendah.
(c) Irama lagu yang dipilih mestilah mudah dan menarik.
(d) Seni kata tentang kegembiraan dan bukannya kesedihan.
(e) Ada terkandung cerita atau peristiwa dalam lagu berkenaan.
(f) Mempunyai perkaitan tentang kehidupan harian mereka.
(g) Seni kata yang berulang-ulang supaya murid-murid mudah mengingat.
(h) Iramanya juga perlulah berulang-ulang.
(i) Melodinya menarik.
(j) Mood lagunya hendaklah riang, ceria dan pelbagai.

Sabtu, 23 April 2011

Nota BM Kontekstual - Menulis kertas kerja yang baik

Strategi Menulis Kertas Kerja Yang Berkesan

a. Sebelum menulis
Sebelum menulis kertas kerja, beberapa perkara perlu anda fikirkan, antaranya:

i. Mengenal pasti audiens sasaran
Kenal pasti kumpulan sasaran yang akan menjadi pembaca kertas kertas tersebut. Siapakah khalayak langsung dan siapakah pula pembaca umum kertas kerja tersebut. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi terhadap kedua-dua kumpulan tersebut khususnya kepada khalayak langsung kerana golongan inilah yang akan mencuba memahami idea yang hendak kita sampaikan dalam kertas kerja tersebut sebelum diluluskan.

ii. Mengenal pasti bentuk penulisan
Tujuan penulisan kertas kerja akan menentukan bentuk penulisan yang perlu digunakan. Jika kertas kerja itu bertujuan untuk meneroka bidang-bidang pengetahuan yang baru, penulisan kertas kerja berbentuk tinjauan sesuai digunakan. Penulisan yang berbentuk deskriptif pula sesuai digunakan bagi kertas kerja yang bertujuan untuk memberi penerangan. Untuk memberi penjelasan terperinci terhadap sesuatu kejadian yang berlaku, kertas kerja berbentuk penjelasan perlu digunakan. Manakala bagi kertas kerja yang bertujuan untuk mencadangkan tindakan-tindakan tertentu tulislah kertas kerja yang berbentuk perumusan.

iii. Mengenal pasti bahasa yang digunakan
Anda perlu mematuhi peraturan tatabahasa dan gaya penulisan yang betul semasa menghasilkan kertas kerja. Gaya penulisan yang baik perlu memenuhi ciri-ciri seperti berikut:
- Keseragaman
Ejaan, tanda baca dan cara menulis petikan hendaklah sentiasa tekal dalam sesebuah kertas kerja.
- Kebolehbacaan
Pilihlah perkataan, istilah, laras dan wacana yang sesuai dengan latar belakang pengetahuan dan pendidikan khalayak.
- Memenuhi kehendak pembaca
Gaya bahasa yang digunakan hendaklah bersahaja tetapi jelas agar pembaca dapat memahami kertas kerja yang hendak dikemukakan dengan cepat dan tepat.

iv. Mengenal pasti teknik penulisan
Bagi kertas kerja seminar, hendaklah ditaip langkau dua baris. Petikan yang terdapat dalam kertas kerja tersebut hendaklah ditaip lagkau sebaris dan dibubuh inden di kiri dan kanan. Panjang setiap kertas kerja seminar, seelok-eloknya tidak melebihi 4000 patah kata. Manakala bagi kertas kerja projek, hendaklah ditaip langkau sebaris. Panjang kertas kerja bergantung kepada keperluan satu-satu projek. Jika kertas kerja tersebut mengandungi banyak bahagian, sediakan lampiran untuk memperincikan butirannya.

v. Mengenal pasti bahagian-bahagian kertas kerja
Kenal pasti bahagian-bahagian yang perlu ada dalam kertas kerja yang anda akan hasilkan. Misalnya, bahagian sinopsis ialah ringkasan atau abstrak keseluruhan kertas kerja itu. Bahagian ini penting sebagai gambaran umum terhadap intisari utama kertas kerja. Lazimnya bahagian ini tidak melebihi 200 patah kata.

Bahagian pengenalan merupakan bahagian yang menerangkan latar belakang terhadap kandungan kertas kerja. Bahagian ini ditulis biasanya tidak melebihi 2 muka surat. Manakala bahagian isi pula merupakan bahagian yang sangat penting dalam sesuatu kertas kerja. Bahagian ini mengandungi huraian tajuk, keterangan, penjelasan dan sebagainya yang dipecahkan kepada beberapa bahagian atau tajuk kecil.

Akhir sekali ialah bahagian kesimpulan atau penutup yang merumuskan kandungan kertas kertas kerja. Saranan dan cadangan juga boleh dimasukkan dalam bahagian ini. Selain itu, kertas kerja juga mengandungi lampiran yang memuatkan bibiliografi, data-data, gambar rajah, glosari dan sebagainya.

vi. Mendapatkan maklumat penting yang berkaitan
Oleh sebab kertas kerja mengandungi banyak maklumat, dapatkan maklumat-maklumat awal yang berkaitan untuk dimasukkan dalam draf kertas kerja. Ini akan memudahkan anda menulis dan penulisan anda akan berjalan dengan lancar. Bagi kertas kerja seminar, buatlah rujukan kepustakaan atau berbincang dengan pakar manakala bagi kertas kerja projek anda perlu berhubung dengan pihak yang berkaiatan untuk mandapatkan maklumat tersebut.


b. Semasa Menulis
Setelah anda merangka kertas kerja dan mengumpulkan maklumat-maklumat awal yang diperlukan dalam kertas kerja itu, anda boleh mula menulis. Dari semasa ke semasa, anda perlu lakukan perkara berikut:

i. Sentiasa berbincang dengan pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan idea tambahan
Semasa menghasilkan sesuatu kertas kerja, khususnya kertas kerja projek anda perlu sentiasa berbincang dengan rakan-rakan atau pihak-pihak yang berkaitan supaya anda boleh mendapatkan idea tambahan. Dengan ini kertas kerja yang akan anda hasilkan itu benar-benar mengandungi maklumat yang lengkap. Anda juga boleh menambah atau menggugurkan bahagian-bahagian tertentu supaya kertas kerja itu lengkap, ringkas dan padat. Selain itu, susunan bahagian-bahagian tertentu dalam kertas kerja dapat dibuat dengan teratur dan kemas.


ii. Gunakan laras dan wacana yang betul
Konsep komunikasi tulisan perlu difahami oleh seseorang penulis kertas kerja. Penggunaan laras dan wacana yang betul akan menjadikan komunikasi lebih berkesan. Ini termasuk penggunaan istilah-istilah yang tepat, ayat yang gramatis, gaya bahasa yang sesuai, di samping keberkesanan kertas kerja sebagai sebuah wacana yang utuh perlu diberi perhatian. Tautan (kohesi) dan runtutan (koheren) yang terdapat dalam kertas kerja akan memudahkan pembaca mengikuti aliran pemikiran yang cuba disampaikan oleh penulis.

c. Selepas menulis
Selepas kertas kerja siap ditulis, pastikan usaha menyemak dilakukan dengan teliti. Dengan melakukan penyemakan anda dapat memperbaiki bahagian-bahagian yang mungkin terdapat kesilapan terutama dari segi ejaan dan tatabahasanya. Anda juga boleh memperkemas isi kandungan kertas kerja sebelum dikemukakan atau dibentangkan. Mintalah bantuan rakan-rakan atau pihak-pihak tertentu untuk membuat semakan. Setelah anda benar-benar berpuas hati, barulah kertas kerja itu dikemukakan untuk kelulusan atau dibentangkan. Buatlah salinan untuk simpanan anda.

Ahad, 17 April 2011

Nota Literasi BM - Postur badan

Kepentingan Postur Badan, Pegangan Pensel dan Kedudukan Kertas, Kerusi dan Meja

Postur Badan
Apa itu postur badan? Postur badan bermaksud kedudukan atau posisi badan murid semasa menulis. Sepatutnya murid-murid perlu menikmati keselesaan semasa menulis. Adalah menjadi tugas dan kewajipan guru untuk menunjukkan kepada murid-murid postur badan yang betul semasa menulis, cara pegangan pensel, kedudukan kertas, kerusi dan meja sebelum mereka mula menulis. Justeru, bimbinglah murid-murid supaya menulis berdasarkan ciri-ciri berikut, iaitu:

(a) Aktiviti menulis perlu dijalankan di atas meja. Terdapat dalam keadaan tertentu, seorang murid gemar untuk meniarap di atas lantai semasa menulis. Cara ini sebenarnya tidak betul dan jika diteruskan akan menyebabkan tulisan murid menjadi tidak cantik dan kemas. Kesan lain ialah berasa sakit pada bahagian bahu dan sendi lengan kerana terpaksa menampung berat badan semasa menulis.
(b) Letakkan tangan di atas meja semasa menulis. Tangan kanan dan kiri sebenarnya saling membantu antara satu sama lain semasa menulis. Jika tangan kanan memegang pensel dan tulis, maka tangan kiri pula akan memegang bahagian tertentu pada bahagian buku atau kertas yang digunakan.
(c) Kedudukan badan murid-murid perlu sedikit ke hadapan semasa menulis. Selain untuk keselesaan murid, cara ini juga membantu mereka memberikan tumpuan dan fokus kepada bahan yang ditulis.

Cara Memegang Pensel
Ada tiga cara memegang pensel yang betul, iaitu:
(a) Pastikan murid memegang pensel menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.
(b) Kemudian kedua-dua jari tersebut disokong pula dengan jari tengah.
(c) Jarak jari hendaklah lebih kurang 3 cm dari hujung mata pensel atau kertas yang digunakan.

Pentingnya Memegang Pensel yang Betul
(a) Tulisan menjadi cantik
Menurut Levine (1987), cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Kelemahan dalam motor halus menyebabkan kanak-kanak menghadapi kesukaran memegang pensel, memasang butang baju dan memasang manik. Kanak-kanak yang menghadapi dyspraxia motor halus menunjukkan kelemahan dalam koordinasi motor.

(b) Cengkaman pensel menjadi kuat
Masalah dyspraxia motor halus menyebabkan ketidaktentuan cengkaman pada alat tulis (Levine, 1987). Kanak-kanak ini tidak berupaya mengawal saraf ketika memegang dan menggerakkan pensel secara stabil. Kanak-kanak yang tidak menggunakan motor halus ketika menulis menyebabkan cengkaman pensel yang tidak kuat. Mereka sebenarnya menggunakan lengan dan pergelangan tangan dan bukannya jari untuk menulis.

(c) Elakkan kecederaan semasa menulis
Cengkaman yang terlalu kuat pada alat tulis dan jari yang terlalu dekat dengan mata pensel menimbulkan kesakitan kepada kanak-kanak. Mengikut Levine (1987), semua ini merupakan faktor yang menyumbang kepada pembentukan huruf yang kurang cantik.

(d) Penulisan menjadi lancar
Levine (1987) menegaskan cara kanak-kanak memegang pensel dengan cengkaman yang kurang kemas menyebabkan pergerakan pensel menjadi tidak licin (lancar).

(e) Minat untuk terus menulis
Kanak-kanak yang mempunyai masalah kinestetik biasanya mencengkam pensel secara kuat dengan meletakkan ibu jari di atas jari telunjuk dan jari hantu ketika memegang alat tulis. Kanak-kanak begini tidak gemar menulis kerana aktiviti ini menjadi pengalaman yang menyakitkan bagi mereka.

Kedudukan Kertas
(a) Jika menulis menggunakan tangan kanan, kedudukan kertas hendaklah disengetkan sedikit ke kiri sambil kedudukan tangan kiri memegang penjuru atas kiri.
(b) Bagi murid yang menulis menggunakan tangan kiri pula, kedudukan kertas hendaklah disengetkan sedikit ke kanan, manakala tangan kanan memegang penjuru atas kanan.

Keadaan Kerusi dan Meja
(a) Murid-murid perlu dilatih supaya memijak lantai semasa menulis. Kedua-dua belah kaki perlu sampai ke lantai dan bukannya tergantung. Jenis kerusi yang diduduki murid di dalam bilik darjah penting bukan sahaja dari aspek keselesaan tetapi juga peranannya semasa murid menulis.
(b) Sebaik-baiknya murid-murid yang bersaiz kecil seperti murid-murid Tahap Satu perlu dibekalkan kerusi rendah supaya kedua-dua belah kakinya mencecah lantai sewaktu menulis.

Khamis, 3 Februari 2011

Warga SK Daching mesra dan ramah


Pada 26 Januari 2011 yang lalu, saya bersama dua pensyarah JPM telah mengadakan lawatan inovasi ke SK Kampong Daching, Lenggeng. Tujuan lawatan adalah menguji rintis bahan inovasi yang dibina dari bahan terbuang (bekas telur) menjadi bahan batu mengajar untuk kegunaan murid tahap satu di sekolah rendah. Menariknya sepanjang kunjungan kami, warga SK Kg. Daching bermula dari guru besar, guru, murid dan ibu bapa semuanya baik-baik belaka, mesra dan ramah. Tahniah buat semua yang terlibat, terutama En. Amran Bakar yang memudahkan urusan komunikasi.

Jumaat, 21 Januari 2011

Nota BM Literasi - Konsep Penulisan

Definisi dan Konsep Penulisan

Menulis ditakrifkan sebagai proses penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan dan seterusnya disusun menjadi ayat. Ayat yang disusun ada kalanya panjang dan ada kalanya pendek berdasarkan beberapa urutan yang bermakna yang membentuk teks, nota, draf dan bahan bercetak.
Takrif lain menyebutkan menulis sebagai suatu kegiatan penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun atur menjadi perkataan-perkataan, yang seterusnya membentuk ayat-ayat yang bermakna. Dalam konteks yang lebih luas, penulisan bermaksud penghasilan wacana yang bermakna dan bermaklumat. Oleh itu, kemahiran menulis secara mekanis, iaitu kemahiran membentuk dan menyusun simbol-simbol tulisan tidak selesai pada peringkat itu sahaja. Sebaliknya kemahiran ini akan diteruskan dengan aktiviti mengarang yang memerlukan penggemblengan aspek psikologi dan kognitif. Kamarudin Husin (1999) mentakrifkan penulisan sebagai pelahiran perasaan, fikiran dan idea dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik itu disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya.
Rumusannya, kemahiran menulis merupakan satu kemahiran yang paling tinggi dan penting berbanding kemahiran bahasa lain, untuk dikuasai oleh murid-murid bukan sahaja dalam pembelajaran bahasa tetapi juga untuk beberapa mata pelajaran lain.

3.1.2 Fungsi Menulis

Ada lapan fungsi menulis kepada murid-murid dan guru, iaitu:
1 Memotivasi atau merangsang idea dan perasaan untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan.
2 Menjadikan diri mahir dalam penguasaan tatabahasa dan perbendaharaan kata.
3 Murid-murid berpeluang untuk menerokai pelbagai bidang bahasa.
4 Memperluaskan pengetahuan dan melahirkan idea dalam bentuk penulisan.
5 Menggunakan seluruh anggota mekanis iaitu mata, tangan, akal dan lain-lain untuk merangsang pembelajaran.
6 Melatih murid mengeluarkan pendapat dan idea dalam bentuk tulisan.
7 Melatih murid menyusun huruf supaya menjadi suku kata, perkataan dan ayat.
8 Kepuasan diri kerana boleh mengemukakan idea secara bertulis untuk bacaan generasi akan datang.

3.1.3 Tujuan Menulis

Ada dua tujuan menulis, iaitu serta-merta dan lanjutan. Walau bagaimanapun, tujuan seseorang itu menulis harus dilihat dari aspek kenapa seseorang itu perlu menulis.

Tujuan Serta-merta

1 Mendirikan asas menulis yang cukup kukuh untuk membolehkan murid-murid menulis dengan baik, cekap dan pantas.
2 Membolehkan murid-murid mengeja perkataan dengan pantas dan menyusun ayat dengan betul dan boleh difahami oleh pembacanya.
3 Kanak-kanak mengulangi pelajaran dengan membaca tulisan-tulisan yang tercatat atau membaca buku-buku luar untuk menambah lagi isi bacaannya.
4 Membolehkan murid-murid melahirkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bentuk tulisan.
5 Menyuburkan minat suka menulis atau mengarang.
6 Menambah dan meluaskan pengetahuan dalam perbendaharaan kata, perkembangan bahasa dan tulisan.
7 Menyediakan murid-murid untuk menghadapi peperiksaan.

Tujuan Lanjutan

1 Meluaskan pengetahuan, pengalaman, perhubungan dan matlamat menerusi penulisan.
2 Memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, pengalaman dan perasaan.
3 Menyediakan murid-murid dengan pengetahuan supaya mereka dapat memenuhi kehendak dan hasrat masyarakat moden, terutamanya untuk kepentingan diri sendiri dan masyarakat umum.

3.1.4 Jenis Kemahiran Menulis

Terdapat dua jenis kemahiran menulis, iaitu kemahiran menulis secara mekanis dan kedua, kemahiran menulis untuk pelahiran (mental).

1 Kemahiran menulis mekanis
Merupakan kemahiran yang dikuasai pada peringkat awal supaya murid dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Antara aktiviti jenis ini termasuklah membuat corak, menekap dan membentuk huruf.

2 Kemahiran menulis untuk pelahiran (mental)
Merupakan kemahiran menulis yang bertujuan pelahiran. Biasanya dikuasai setelah kanak-kanak memperoleh kemahiran menulis mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan mental dan terbahagi kepada empat bahagian, iaitu penyataan fikiran atau pendapat, pernyataan perasaan, pernyataan kehendak dan terakhir mengeluarkan pendapat yang asli.

3.1.5 Aktiviti Kemahiran Menulis

1 Kemahiran menulis mekanis
(a) Latihan menulis berdasarkan beberapa bentuk geometri dan garisan yang ada mirip bentuk-bentuk huruf. Contohnya bulat (huruf O,D), segi empat sama (huruf H,L), segi tiga (A,V,W), garisan bengkok (S) dan lain-lain.

(b) Latihan menulis huruf daripada gambar. Contohnya bola sepak (O), payung (J), bumbung rumah (A), tangga (H), roti (D), tongkat (T) dan lain-lain.

(c) Latihan menekap huruf mengikut acuan huruf yang diperbuat daripada kad yang berlubang atau huruf untuk nombor plat kenderaan.

(d) Menekap huruf atau perkataan yang ditulis dalam bentuk garis putus-putus.

(e) Latihan menulis huruf dalam bentuk suku mudah, iaitu seperti KV atau KVK.

(f) Latihan menamakan gambar secara terkawal. Contohnya A __ A M untuk gambar ayam, B __ L A untuk gambar bola, atau __ U K __ untuk gambar buku.

(g) Latihan menamakan gambar secara bebas, iaitu gambar dan eja.

(h) Latihan menyalin ayat atau frasa.

(i) Latihan menyalin ayat daripada buku teks.

2 Kemahiran menulis untuk pelahiran (mental)

(a) Aktiviti menyalin dan meniru lirik lagu, pantun, resipi masakan, sajak dan lain-lain.

(b) Aktiviti menghasilkan semula tulisan tanpa bahan berbentuk tulisan. Ini boleh dilaksanakan dengan memperdengarkan satu bahan mudah secara lisan menerusi pita rakaman, kemudian meminta murid menulis semula mengikut persepsi ayat sendiri sendiri.

(c) Aktiviti menggabungkan beberapa latihan. Caranya murid dikehendaki menggantikan beberapa perkataan tertentu, frasa atau perenggan dalam cerita yang diperdengarkan. Hal ini bermakna, murid menulis semula cerita atau puisi yang diperdengarkan dengan sedikit pengubahsuaian.

(d) Penulisan berpandu, iaitu murid diminta untuk menyudahkan cerita, memperluaskan perenggan atau ayat mudah dan sebagainya. Latihan pada peringkat ini memerlukan murid untuk bertindak balas secara individu.

(e) Aktiviti penulisan bebas dengan memberikan kebebasan kepada murid-murid mencipta ayat sendiri bagi melahirkan pendapat. Pada peringkat ini, hasil kerja murid lebih panjang dan murid menghasilkan karangan yang lebih kompleks.

3.1.6 Prinsip Pemilihan dan Penyesuaian Bahan Pengajaran Penulisan

Sebelum sesuatu bahan pengajaran dibina, seseorang guru perlu mengambil kira prinsip-prinsip pemilihan dan penyesuaian bahan pengajaran. Secara umumnya prinsip-prinsip yang dimaksudkan itu ialah:
1 Ketetapan maklumat kandungan
2 Ketepatan bahasa dan gaya
3 Sesuai dengan umur, tahap, dan keupayaan murid
4 Sesuai dengan masyarakat, agama dan budaya
5 Sesuai dengan objektif pengajaran
6 Sesuai dengan masa pengajaran
7 Mudah diguna dan dikendalikan

Dalam pengajaran kemahiran menulis, bahan-bahan rangsangan seperti gambar, petikan, rakaman audio (ceramah, ucapan, perbahasan dan sebagainya), rakaman video dan filem sangat sesuai dijadikan bahan pengajaran.

3.2 Aktiviti Pratulisan

Pratulisan merupakan satu peringkat yang perlu dilalui oleh murid-murid bagi menyediakan diri ke arah melahirkan lambang-lambang bunyi yang khusus dan boleh diterima oleh kelompok masyarakat. Pada peringkat ini, aktiviti contengan dilakukan atas permukaan benda sedia ada dalam persekitaran mereka dengan menggunakan bahan yang boleh meninggalkan kesan ke atas permukaan benda tersebut. Peringkat contengan ini berkembang dari membuat contengan bebas hingga peringkat contengan terkawal.

3.2.1 Takrif Pratulisan

Merupakan suatu kemahiran di mana murid-murid telah mempunyai keupayaan menggunakan alat tulis dan mengetahui teknik serta cara gerakan tangan untuk membentuk huruf. Oleh itu, penguasaan kemahiran pratulisan bermaksud seseorang murid itu telah bersedia dari segi fizikal dan mentalnya untuk memulakan penulisan secara mekanis.

Khamis, 20 Januari 2011

Nota BM Kontekstual - Kertas kerja

Tarrif Kertas Kerja
Kertas kerja adalah salah satu daripada bentuk komunikasi bertulis. Oleh sebab itu kertas kerja bermaksud hasil penulisan yang mengandungi idea untuk dikemukakan kepada khalayak atau pihak-pihak tertentu. Khalayak perlu membaca kertas kerja tersebut untuk mendapatkan maklumat berkaitan idea yang hendak disampaikan. Khalayak boleh terdiri daripada kumpulan kecil seperti jawatankuasa projek ataupun kumpulan besar seperti peserta seminar dan persidangan. Dalam keadaan tertentu kertas kerja juga boleh dibentangkan kepada khalayak dalam bentuk lisan. Namun begitu, komunikasi lisan tersebut hanya berperanan menyampaikan maklumat yang memang telah disediakan dalam kertas kerja tersebut atau dengan kata lain menerangkan apa yang terkandung dalam kertas kerja itu. Apa yang lebih penting ialah hasil penulisan kertas kerja itu sendiri.
3.3 Jenis-Jenis Kertas Kerja [A]

Terdapat pelbagai jenis kertas kerja yang dihasilkan. Namun secara umumnya, kertas kerja dapat dibahagikan kepada dua, iaitu:

a. Kertas Kerja Seminar

Kertas kerja seminar ialah kertas kerja tentang sesuatu perkara untuk dikemukakan kepada sesebuah kumpulan atau orang ramai dalam sesuatu bengkel atau seminar. Penulis akan mengemukakan idea, pandangan, kajian, penyelidikan dan sebagainya kepada khalayak dengan tujuan untuk memberi panduan bagi menerokai bidang-bidang baharu, memberi penerangan tentang sesuatu perkara, memberi penjelasan tentang sesuatu idea, atau mencadangkan tindakan-tindakan tertentu terhadap sesuatu fenomena. Khalayaknya ialah mereka yang hadir dalam pembentangan yang dijalankan atau yang membaca kertas kerja tersebut. Khalayak biasanya mereka yang memang berminat dengan perkara/tajuk yang disampaikan ataupun mempunyai pengalaman dan pengetahuan perkara yang diperkatakan. Oleh itu, mereka hadir atau membaca kertas kerja ingin mengetahui perkara tersebut dengan lebih mendalam lebih-lebih lagi jika perkara yang ingin disampaikan itu ialah penemuan baharu dalam bidang berkenaan. Biasanya kertas kerja ini bersifat formal dan menggunakan laras bahasa akademik. Kadang-kadang kertas kerja tersebut kemudiannya diterbitkan dalam jurnal untuk menjadi bahan bacaan bacaan dan rujukan. Bergantung kepada tujuan dan khalayak, kertas kerja seminar perlu ditulis menggunakan laras bahasa mengikut bidang yang diperkatakan supaya lebih jelas dan mudah difahami.

b. Kertas Kerja Projek

Manakala kertas kerja projek pula dikemukakan untuk urusan-urusan seperti perancangan sesuatu projek, kajian dan penyelidikan bagi sesebuah jabatan, syarikat atau institusi tertentu. Kertas kerja projek dikemukakan kepada pihak tertentu untuk mendapat kelulusan. Penulis kertas kerja ini akan mengemukakan idea bagaimana sesuatu projek / kajian itu dapat dijalankan. Berbanding dengan kertas kerja seminar, kertas kerja ini juga bersifat formal tetapi menggunakan laras bahasa umum yang lebih mudah difahami. Dengan penulisan kertas kerja ini, pembaca atau pihak yang berkenaan akan mendapat gambaran lengkap tentang bagaimana sesuatu projek / kajian itu dapat dijalankan dengan jayanya. Semua perkara yang berkaitan projek itu akan dijelaskan dalam kertas kerja. Kemungkinan halangan/kekangan yang akan dihadapi dalam projek tersebut juga dikemukakan untuk mendapat maklum balas bagaimana halangan / kekangan itu dapat diatasi. Bergantung kepada tujuan penulisannya, kertas kerja ini dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, antaranya ialah:
- Kertas kerja perniagaan
- Kertas kerja lawatan
- Kertas kerja program
- Kertas kerja perkhemahan
- Kertas kerja hari keluarga
- Kertas kerja sukan
3.4 Format Menulis Kertas Kerja [A]

Untuk menghasilkan kertas kerja terdapat pelbagai kaedah dan format yang boleh digunakan. Sebenarnya format penulisan kertas kerja bergantung kepada beberapa faktor/perkara antara lain ialah apa tujuannya, siapa khalayaknya, bagaimana penyampaiannya, apakah isi kandungannya dan lain-lain. Walau bagaimanapun terdapat format umum yang boleh dikuti oleh penulis sebagai panduan menyediakan kertas kerja. Bagi penulisan sesuatu kertas kerja, apa yang penting ialah ketekalan bentuk penulisannnya. Antara format umum penulsan kerja kerja:
a. Format Kertas Kerja Seminar
• Tajuk
• Nama / Nama-nama pembentang kertas kerja
• Nama institusi
• Abstrak (Sinopsis/Ringkasan)
• Pengenalan
• Sorotan kajian
• Metodologi
• Analisis data / Dapatan
• Rujukan
• Lampiran

b. Format Kertas Kerja Projek
• Tajuk
• Latar belakang / Rasional
• Objektif / Matlamat
• Jangka masa yang diperlukan
• Kumpulan sasaran
• Andaian-andaian halangan
• Anggaran belanjawan
• Penubuhan jawatankuasa
• Menentukan jadual tugas
• Pelaksanaannya

Walaupun terdapat format umum penulisan kertas kerja yang boleh menjadi rujukan, sebagaimana yang telah dinyatakan, anda perlu melakukan penyesuaian supaya kertas kerja yang dihasilkan benar-benar menepati tujuan dan dapat mencapai objektifnya. Ingatlah bahawa penulisan perlu teliti dan lengkap dengan semua maklumat yang diperlukan.


3.5 Ciri-ciri Penulisan Kertas Kerja Yang Baik [A]

Untuk mencapai matlamat penulisannya, kertas kerja perlu memenuhi beberapa kriteria dan ciri-ciri penulisan tertentu. Antara lain, ciri-ciri penulisan kertas kerja yang baik ialah:
i. Penggunaan bahasa yang baik.
Penggunaan bahasa yang baik dan tepat sangat penting dalam penulisan kertas kerja. Struktur ayat yang betul dan gramatis, pemakaian imbuhan perkataan yang tepat dan pemilihan kosa kata sesuai mengikut kmonteks dan situasi perlu diberi perhatian oleh penulis. Penggunaan bahasa yang tidak jelas akan menimbulkan kesukaran kepada pembaca untuk memahami apa yang ingin dimaksudkan. Tahap penguasaan yang baik membolehkan penulis melahirkan apa yang sebenarnya ingin disampaikan. Jika tidak berkemungkinan pembaca akan menyalahtafsirkan mesej sebenar yang terkandung dalam kertas kerja tersebut. Dalam penggunaan bahasa, penulis perlu memikirkan pemilihan kata dan ayat yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
• Kejelasan
• Kekhususan
• Ketepatan
• Kesesuaian
• Elakkan ulangan yang tidak perlu

ii. Ringkas, tepat dan padat.
Kertas kerja banyak mengandungi maklumat. Maklumat perlu dijelaskan oleh penulis menggunakan bahasa yang sesuai supaya mudah difahami oleh pembaca dengan jelas. Jika penjelasan yang diberikan oleh penulis terlalu panjang maka pembaca sukar untuk memahami maksud yang ingin disampaikan. Begitu juga sebaliknya, jika penjelasan terlalu ringkas sukar untuk pembaca memahami apa yang ingin disampaikan atau berkemungkinan pembaca akan membuat tafsiran yang berbeza daripada maksud sebenar penulis. Setiap maklumat harus diolah dengan jelas tanpa diulang-ulang. Kertas kerja yang dihasilkan perlu ringkas, tepat dan padat sesuai dengan tujuan penghasilan kertas kerja tersebut.

iii. Penggunaan laras yang betul
Laras bahasa ialah variasi bahasa yang mempunyai cirri-ciri khusus dalam penggunaannya mengikut bidang. Hal ini termasuk pemilihan kata, frasa, ayat, khalayak dan bidang yang diperkatakan. Walaupun pada umumnya penulisan kertas kerja menggunakan laras bahasa formal, namun dalam penghasilan kertas kerja tertentu penggunaan laras yang betul amat penting. Semasa menghasilkan kertas kerja seminar misalnya, penggunaan laras yang tepat mengikut bidang akan memudahkan khalayak memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis. Manakala bagi kertas kerja projek pula, laras bahasa umum sering digunakan. Oleh sebab itu, penulis juga perlu membuat pertimbangan tentang khalayaknya sebelum menulis.

iv. Keutuhan wacana dalam tulisan.
Wacana merupakan satu satuan bahasa terlengkap dengan koheren dan kohesi tinggi yang berkesinambungan. Oleh sebab banyak maklumat yang terdapat dalam kertas kerja, maklumat itu perlu disusun sesuai dengan urutannya supaya idea yang ingin disampaikan dapat dipersembahkan secara teratur. Pertalian antara satu maklumat dengan yang lain akan menampakkan satu pola atau keseluruhan kertas kerja. Dengan itu pembaca akan mudah memahami idea yang ingin disampaikan. Selain itu, pemilihan kata dan susunan ayat yang digunakan dalam kertas kerja juga akan memperlihatkan kertas kerja itu sebagai satu kesatuan yang utuh.

v. Ketekalan penulisan.
Untuk menghasilkan kertas kerja yang baik, bentuk penulisan harus dipersembahkan dalam bentuk yang tekal dan konsisten terutama dari segi ejaan. Ejaan perkataan sama yang berbeza-beza dalam satu kertas kerja memperlihatkan ketidaktelitian penulis khususnya dalam membuat penyemakan terakhir. Selain itu, bahagian subtajuk yang terdapat dalam kertas kerja perlu ditulis dalam format yang sama terutama daripada segi membuat indent atau jarak tepi. Ketekalan bentuk akan memudahkan pembaca membuat rujukan dan kertas kerja tersebut akan kelihatan kemas.

vi. Penomboran yang sesuai.
Penomboran juga penting dalam penulisan kertas kerja kerana terdapat beberapa tajuk kecil yang perlu ada dalam satu kertas kerja. Penulis perlu menyusun maklumat dengan susunan yang sesuai dan memberikan penomboran. Penulis perlu memikirkan pembahagian tajuk-tajuk kecil tersebut supaya tidak terlalu banyak tajuk kecil yang disenaraikan. Begitu juga pecahan-pecahan bagi tajuk kecil tersebut. Berilah penomboran yang sesuai supaya bahagian-bahagain tertentu mudah dirujuk.

vii. Maklumat yang lengkap.
Kertas kerja biasanya mengandungi maklumat yang banyak terutama bagi kertas kerja projek. Oleh sebab itu, penulis digalakkan untuk membuat rujukan atau semakan dengan pihak-pihak tertentu supaya maklumat yang diperlukan tidak tertinggal. Pandangan daripada pihak-pihak lain akan dapat melengkapkan lgi kertas kerja yang kita sediakan. Kertas kerja yang telah lengkap sepatutnya dapat menjawab persoalan-persoalan yang berkaitan. Jika maklumat yang perlu tidak terdapat dalam kertas kerja mungkin penulis perlu melakukan penambahbaikan agar kertas kerja yang akan dikemukakan mendapat kelulusan.

viii. Kepanjangan yang sesuai.
Sesebuah kertas kerja yang baik tidak semestinya panjang. Bergantung kepada tujuan, khalayak, perkara yang diperkatakan, peruntukan kewangan dan sebagainya, penulis boleh merangka kepanjangan yang sesuai bagi kertas kerja tersebut. Bagi tajuk-tajuk tertentu, kertas kerja yang disediakan tidak perlu panjang kerana khalayak mudah memahaminya sedangkan mungkin untuk tajuk-tajuk yang lain penulis perlu memberi penjelasan yang lebih terperinci. Panjang atau pendek sesuatu kertas kerja bergantung kepada jenis kertas kerja dan tujuannya.

Untuk mengelakkan kertas kerja yang dihasilkan menjadi terlalu panjang, penulis perlu menggunakan halaman lampiran untuk menyampaikan maklumat tambahan yang mungkin diperlukan untuk menjelaskan tentang sesuatu perkara yang dinyatakan dalam kertas kerja tersebut. Bahagian-bahagian tertentu dalam sesuatu kertas kerja mungkin boleh dikemukakan dalam bentuk lampiran. Dengan ini, kertas kerja yang dihasilkan tidak terlalu panjang atau tebal.

Buku sulung Siri Pendidikan Guru terbit april ini.

Insyallah bulan April ini akan terbit dua buah buku bersama Penerbit Oxford Fajar. Buku pertama Literasi BM ditulis secara solo melalui kajian selama hampir 2 tahun. Manakala sebuah lagi BM Kontekstual bersama enam orang rakan-rakan dari JPM IPG Raja Melewar.

Isnin, 29 November 2010

Nota BM Kontekstual - Menyampaikan pengumuman

Definisi Pengumuman
Pengumuman berasal daripada kata ‘umum’ yang membawa maksud secara keseluruhan, bersifat menyeluruh atau mengenai keseluruhan sesuatu. Kata pengumuman pula bermaksud perihal (perbuatan dan sebagainya) mengumumkan, pemberitahuan kepada orang ramai atau pemakluman. Menurut Ab. Rahman Ab. Rashid & Yap, (2002) pengumuman ialah pemberitahuan atau pemakluman yang ditujukan kepada orang ramai. Manakala Arbak Othman (1995) pula menyatakan bahawa pengumuman ialah hal yang disebarkan atau makluman. Pengumuman ini bertujuan menyampaikan atau memberitahu maklumat tentang sesuatu perkara kepada orang banyak. Walaupun pengumuman dibuat dan ditujukan kepada pendengar secara keseluruhan tetapi kebiasaannya bukan semua orang terlibat atau menjadi kumpulan sasaran berkenaan dengan perkara yang diumumkan itu.

Pengumuman kerap dibuat secara lisan menggunakan pembesar suara atau disiarkan melalui media massa seperti radio atau televisyen. Namun bukan semua pengumuman berbentuk lisan. Ada juga pengumuman yang dibuat dalam bentuk teks dan disiarkan dalam akhbar, majalah dan lain-lain media. Dalam perkembangan teknologi maklumat, pengumuman juga boleh disebarkan melalui internet. Yang penting, pengumuman dapat disebarkan kepada sebanyak mungkin orang agar lebih banyak individu yang menjadi sasaran pengumuman itu dapat menerima maklumat yang hendak disampaikan.

2.3 Jenis-Jenis Pengumuman

a. Pengumuman Lisan
Pengumuman lisan ialah pengumuman secara langsung daripada penyampai sama ada menggunakan alat pembesar suara atau tidak. Pengumuman lisan ini juga boleh dirakam terlebih dahulu. Dalam pengumuman lisan, telinga mendengar gelombang bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan disalurkan ke otak untuk diproses bagi memahami mesej atau maklumat yang hendak disampaikan. Sebagai salah satu bentuk komunikasi, pengumuman lisan perlu dibuat menggunakan perkataan dan ayat ringkas, padat dan sejelas mungkin. Ayat yang terlalu panjang menyukarkan pendengar memahami mesejnya. Dalam komunikasi berbentuk lisan, setiap kata yang telah diucapkan akan hilang dan tidak dapat diulang dengar. Jika ayat terlalu panjang, ingatan terhadap perkataan yang telah diucapkan terlebih dahulu mungkin menyukarkan pendengar memahami ayat itu secara keseluruhannya.

b. Pengumuman Bertulis
Selain secara lisan, pengumuman juga disampaikan kepada khalayak secara bertulis. Ini bermaksud maklumat yang ingin disampaikan hanya dapat diperoleh dan difahami oleh khalayak melalui pembacaan. Seperti pengumuman lisan, pengumuan bertulis juga perlu dibuat dalam bentuk yang padat, ringkas dan mudah difahami. Teks pengumuman boleh ditampal di tempat-tempat yang dijangkakan sering dikunjungi oleh kumpulan sasaran. Selain itu, teks pengumuman juga boleh disiarkan dalam media massa seperti akhbar, majalah atau media elektronik seperti televisyen, paparan matriks, paparan kristal cecair (LCD), dan sebaginya. Penggunaan media massa sebagai alat menyampaikan pengumuman dibuat jika pengumuman itu melibatkan lebih banyak khalayak yang menjadi kumpulan sasaran atau kedudukan kumpulan sasaran memang tidak diketahui langsung. Pengumuman bertulis perlu dengan cara yang dapat menarik perhatian pembaca. Jika tidak pengumuman itu mungkin tidak akan dibaca oleh orang ramai.

2.4 Format Menulis Pengumuman

a. Format Umum
Sama seperti penulisan karangan biasa, pengumuman juga tidak akan lengkap jika tidak mengandungi bahagian-bahagian pengenalan, isi dan penutup.
• Pendahuluan
Maklumat yang terkandung dalam bahagian pendahuluan biasanya maklumat umum. Maklumat ini mungkin berguna sebagai pengetahuan am sahaja kepada semua pendengar. Berdasarkan maklumat yang terkandung dalam bahagian ini, kumpulan sasaran mungkin belum dapat bertindak balas atau mengambil tindakan tertentu. Bahagian pendahuluan ini penting kerana semasa penyampaian bahagian ini, orang ramai akan mula memberi perhatian atau tumpuan untuk mendengar pengumuman seterusnya. Bahagian pengenalan biasanya menggunakan ayat-ayat pembuka seperti contoh berikut:
a) Dengan ini kami umumkan...
b) Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di....
c) Berdasarkan .... Dengan ini kami umumkan bahawa...

Selain itu, ucapan bertatasusila untuk menunjukkan kesantunan berbahasa seperti ucapan Selamat pagi, Asalammulaikum, Salam sejahtera dan kata-kata sapaan atau panggilan kepada orang ramai seperti Tuan-tuan dan puan-puan atau pengenalan kumpulan sasaran pengumuman tersebut seperti Kepada semua pelajar Semester 1 PISMP, Kepada semua penumpang Bas Ekspres Sinaran, dan lain-lain juga termasuk dalam bahagian pengenalan pengumuman.

• Isi
Bahagian ini merupakan bahagian yang penting dalam sesuatu pengumuman. Dalam bahagian inilah maklumat sebenar yang ingin disampaikan kepada kumpulan sasaran. Setelah mendengar dan memahami pengumuman itu, kumpulan sasaran diharap akan mendapat maklumat penting pengumuman itu. Bahagian isi perlu mengandungi maklumat yang cukup untuk jika pengumuman bertujuan agar kumpulan sasaran bertindak balas. Jika maklumat yang diberi tidak lengkap, sukarlah mereka yang terlibat mengambil tindakan yang sewajarnya. Berikut ialah contoh ayat bahagian isi:
a) Kepada para pemenang, diharapkan dapat mengambil hadiah masing-masing pada ....
b) Para pelajar yang berminat diminta segera mendaftar di....
c) Orang ramai yang ingin mendapatkan borang permohonan bolehlan mendaftar di...

• Penutup
Bahagian penutup menandakan berakhirnya sesuatu pengumuman itu. Biasanya ucapan terima kasih digunakan.
a) Terima kasih atas perhatian tuan-tuan dan puan-puan.
b) Demikian yang dapat kami sampaikan.
c) Harap maklum. Terima kasih.


b) Format Khusus Pengumuman Lisan
Pengumuman lisan, secara umumnya perlu mengandungi maklumat berikut:
- Kumpulan sasaran
- Tujuan atau agenda
- Tarikh
- Masa
- Lokasi / Tempat
Walau bagaimanapun, kandungan maklumat dalam sesuatu pengumuman juga bergantung kepada tujuan pengumuman. Mungkin ada maklumat tambahan yang perlu dimaklumkan dalam pengumuman tersebut.

Contoh: Pengumuman Pemberitahuan
Perhatian kepada Saudara Abd Rahim bin Ismail dari Unit PISMP Semester 2 (kumpulan sasaran). Anda dikehendaki berjumpa En. Izan Yusof (tujuan), pada 11 Januari 2011 (tarikh) pada pukul 3 petang (masa) di Pejabat HEP (lokasi).

Perhatian kepada pemilik kenderaan bernombor NCJ 996 (kumpulan sasaran). Sila alihkan kenderaan anda (tujuan) sekarang (masa) kerana mengganggu lalu lintas. Terima kasih.

Contoh : Pengumuman Sebaran
Perhatian kepada orang ramai (kumpulan sasaran). Anda dijemput hadir beramai-ramai ke pusat jualan peralatan komputer tahunan (tujuan) pada 31 Disember 2010 (tarikh), dari jam 9 pagi hingga 10.30 malam (masa) bertempat di perkarangan Kompleks Beli Belah Centre Points, Seremban (lokasi).

c. Format Khusus untuk Pengumuman Bertulis
Sama seperti pengumuman lisan, pengumuman bertulis juga secara umumnya perlu mengandungi maklumat berikut:
- Tajuk
- Kumpulan sasaran
- Tujuan atau agenda
- Tarikh
- Masa
- Lokasi / Tempat
- Sumber pengumuman

Oleh sebab mesej daripada pengumuman bertulis diperoleh melalui pembacaan maka lebih banyak maklumat tambahan/terperinci dapat dimasukkan dalam teks pengumuman berbanding pengumuman lisan. Isi kandungan pengumuman bertulis juga bergantung kepada tujuan pengumuman itu dibuat.