Sabtu, 14 Jun 2014

Tujuan Penyelidikan dalam Pendidikan

Seorang pengkaji yang baik dan beretika perlulah terlebih dahulu mengetahui tujuan dia ingin menjalankan sesuatu kajian itu. Hal ini penting supaya kajian tersebut berada pada landasan yang betul dan tidak terpesong. Dalam waktu yang sama, ini dapat mengelakkan pembaziran dari segi masa, tenaga dan wang ringgit kerana kerap bertukar tajuk, objektif atau soalan kajian. Justeru itu terdapat empat tujuan dalam menjalankan penyelidikan dalam pendidikan, iaitu penerokaan, penghuraian, penerangan dan ramalan. (A) Penerokaan - Meneroka bermaksud menjalankan pemeriksaan terhadap sesuatu perkara yang belum jelas. Biasanya kajian dijalankan adalah untuk menerokai apabila ada sesuatu masalah yang masih dalam peringkat awal atau isu yang diterokai itu masih baharu. Justeru amalan meneroka ini digunakan untuk menjawab beberapa soalan yang menggunakan kata tanya seperti apa, mengapa dan bagaimana. Contohnya untuk melihat keberkesanan program Bina Insan Guru kepada guruguru yang sedang mengikuti Program Pensiswazahan Guru (PPG). Kajian boleh dijalankan untuk meneroka apakah masalah yang dihadapi mereka semasa mengikuti aktiviti air dan sebagainya. Jadi, tujuan penerokaan berlaku dalam situasi seperti ini. Maklumat yang terkumpul boleh dijadikan sebagai panduan atau penambahbaikan bagi aktiviti yang sama tetapi kumpulan sasaran yang berbeza pada tahun yang berikutnya. (B) Penghuraian - Tujuan penyelidikan dalam pendidikan yang kedua ialah penghuraian. Apakah yang dimaksudkan dengan penghuraian? Penghuraian bermaksud menerangkan sesuatu perkara atau kejadian secara panjang lebar dan tersusun. Penyelidikan dalam pendidikan dijalankan untuk menghuraikan beberapa perkara yang memerlukan penjelasan lebih lanjut. Antara perkara yang boleh dijalankan untuk tujuan penghuraian ialah seperti sifat murid-murid yang gemar ponteng sekolah, ciri-ciri guru yang ikhlas mengajar di dalam bilik darjah dan sebagainya. Dalam konteks penyelidikan pendidikan untuk bahasa Melayu, elakkan penggunaan bahasa yang berbelit-belit dan terlalu panjang. Ayat yang digunakan pengkaji biarlah ringkas dan tepat tetapi tidak pula mencacatkan huraian yang ingin disampaikan disebabkan huraian yang terlalu ringkas tadi. (C) Penerangan- Tujuan penyelidikan dalam pendidikan yang ketiga ialah menerangkan sesuatu isu atau perkara dari tidak diketahui hingga menjadi diketahui oleh pihak yang memerlukan. Penerangan dari segi bahasa bermaksud menjelaskan sesuatu perkara supaya menjadi jelas dan terang. Justeru, semasa sesuatu kajian itu dijalankan, pengkaji berperanan besar untuk menerangkan atau menjelaskan hasil penemuan atau dapatan kajian kepada umum. Bagi tujuan ini, pengkaji boleh membawa masuk beberapa maklumat sokongan seperti dapatan kajian oleh pengkaji terdahulu sebagai penerangan sampingan yang boleh digunakan untuk mengukuh dan menyokong lagi hujah yang diberi. (D) Ramalan- Tujuan terakhir penyelidikan dalam pendidikan adalah untuk membuat ramalan. Apakah itu ramalan? Meramal bermaksud sesuatu perkara yang menjadi pegangan oleh seseorang untuk melihat nasib atau mengetahui sesuatu yang akan berlaku pada akhir peristiwa. Ramalan juga membawa maksud menduga, mentelah atau meneka yang disertai dengan bukti. Penyelidikan dalam pendidikan juga bertujuan membuat ramalan tentang kesudahan sesuatu isu yang dikaji pada masa-masa akan datang. Contohnya, menjalankan kajian untuk mengetahui sama ada calon siswa guru yang mendapat skor tinggi dalam Ujian Kemasukan Guru ke IPGM merupakan jaminan untuk mereka menjadi seorang guru terlatih yang cemerlang dan terbilang pada masa akan datang atau sebaliknya.

Ciri-ciri dalam Penyelidikan Pendidikan

(A) Empirikal - Empirikal bermaksud kebergantungan kepada keputusan eksperimen atau pemerhatian sebelum membuat sesuatu keputusan. Penyelidikan dalam pendidikan dikatakan berbentuk empirikal kerana setiap data yang hendak digunakan oleh seseorang pengkaji dikutip melalui proses pemerhatian, pengalaman atau pengujian yang sebenar. Maknanya, data tersebut bukan “agakan” atau “tekaan” sebaliknya mempunyai bukti dan sering kali dikutip secara langsung daripada responden kajian. Apakah kaedah yang digunakan? Data kajian sebenarnya boleh dikutip melalui pelbagai kaedah. Contohnya, melalui soal selidik, pengkaji memerhati responden dalam situasi tertentu seperti bilik darjah, atau melalui analisis dokumen seperti melihat buku kedatangan murid dan rekod profil murid dengan menggunakan senarai semak yang telah disediakan. (B)Sistematik - Sistematik bermaksud mempunyai peraturan atau ketetapan tersendiri yang perlu diikuti atau dipatuhi. Penyelidikan dalam pendidikan pula dikatakan bersistematik kerana proses penyelidikan yang dirancang dan diurus dengan teliti serta mengikuti prosedur-prosedur tertentu. Kesemua ini adalah perlu untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan penyelidikan. Contohnya, sebelum pengkaji menjalankan kajian, hendaklah dia terlebih dahulu menyediakan “Proposal Kajian” atau dikenal sebagai “Cadangan Kajian”. Apabila proposal kajian diluluskan, baharulah baik untuk pengkaji meneruskan proses seterusnya seperti memohon kebenaran daripada pihak-pihak tertentu seperti EPRD, Jabatan Pendidikan Negeri dan guru besar sekolah terlibat. Pengkaji tidak boleh mendahulukan kerja-kerja mengutip data tanpa kebenaran pihak yang terlibat. (C)Langkah Logik Langkah logik bermaksud beberapa tindakan yang perlu diambil dan boleh diterima akal atau munasabah. Penyelidikan dalam pendidikan perlu mengikuti langkah-langkah logikal yang lazim digunakan. Biasanya, penyelidikan jenis ini akan bermula dengan proses mengenal pasti masalah dan diikuti dengan tinjauan literatur, pembentukan soalan kajian, pengumpulan data, penganalisisan data dan rumusan kajian. Hal ini diikuti dengan cadangan hipotesis untuk menerangkan sesuatu fenomena dan kemudian menjalankan langkah-langkah penyelidikan untuk menentukan sama ada hipotesis yang dicadangkan itu boleh diterima atau tidak. Penyelidikan juga dijalankan secara objektif iaitu semua dapatan berdasarkan bukti empirikal. (D) Kaedah Saintifik - Saintifik bermaksud penyelidikan dalam pendidikan dikatakan mengikuti kaedah atau prinsip sains iaitu satu ilmu pengetahuan yang sifatnya teratur dan boleh diuji atau dibuktikan kebenaranya. Contohnya, seseorang penyelidik yang memulakan kajiannya dengan berpegang kepada salah satu hipotesisnya iaitu masalah disiplin di sekolah semakin rumit disebabkan pengaruh media massa. Kemudian beliau akan menjalankan langkah seperti mengumpul data melalui soal selidik atau memerhatikan murid di beberapa buah sekolah untuk mengumpul data bagi menentukan sama ada hipotesisnya itu boleh diterima atau tidak.