Sabtu, 23 April 2011

Nota BM Kontekstual - Menulis kertas kerja yang baik

Strategi Menulis Kertas Kerja Yang Berkesan

a. Sebelum menulis
Sebelum menulis kertas kerja, beberapa perkara perlu anda fikirkan, antaranya:

i. Mengenal pasti audiens sasaran
Kenal pasti kumpulan sasaran yang akan menjadi pembaca kertas kertas tersebut. Siapakah khalayak langsung dan siapakah pula pembaca umum kertas kerja tersebut. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi terhadap kedua-dua kumpulan tersebut khususnya kepada khalayak langsung kerana golongan inilah yang akan mencuba memahami idea yang hendak kita sampaikan dalam kertas kerja tersebut sebelum diluluskan.

ii. Mengenal pasti bentuk penulisan
Tujuan penulisan kertas kerja akan menentukan bentuk penulisan yang perlu digunakan. Jika kertas kerja itu bertujuan untuk meneroka bidang-bidang pengetahuan yang baru, penulisan kertas kerja berbentuk tinjauan sesuai digunakan. Penulisan yang berbentuk deskriptif pula sesuai digunakan bagi kertas kerja yang bertujuan untuk memberi penerangan. Untuk memberi penjelasan terperinci terhadap sesuatu kejadian yang berlaku, kertas kerja berbentuk penjelasan perlu digunakan. Manakala bagi kertas kerja yang bertujuan untuk mencadangkan tindakan-tindakan tertentu tulislah kertas kerja yang berbentuk perumusan.

iii. Mengenal pasti bahasa yang digunakan
Anda perlu mematuhi peraturan tatabahasa dan gaya penulisan yang betul semasa menghasilkan kertas kerja. Gaya penulisan yang baik perlu memenuhi ciri-ciri seperti berikut:
- Keseragaman
Ejaan, tanda baca dan cara menulis petikan hendaklah sentiasa tekal dalam sesebuah kertas kerja.
- Kebolehbacaan
Pilihlah perkataan, istilah, laras dan wacana yang sesuai dengan latar belakang pengetahuan dan pendidikan khalayak.
- Memenuhi kehendak pembaca
Gaya bahasa yang digunakan hendaklah bersahaja tetapi jelas agar pembaca dapat memahami kertas kerja yang hendak dikemukakan dengan cepat dan tepat.

iv. Mengenal pasti teknik penulisan
Bagi kertas kerja seminar, hendaklah ditaip langkau dua baris. Petikan yang terdapat dalam kertas kerja tersebut hendaklah ditaip lagkau sebaris dan dibubuh inden di kiri dan kanan. Panjang setiap kertas kerja seminar, seelok-eloknya tidak melebihi 4000 patah kata. Manakala bagi kertas kerja projek, hendaklah ditaip langkau sebaris. Panjang kertas kerja bergantung kepada keperluan satu-satu projek. Jika kertas kerja tersebut mengandungi banyak bahagian, sediakan lampiran untuk memperincikan butirannya.

v. Mengenal pasti bahagian-bahagian kertas kerja
Kenal pasti bahagian-bahagian yang perlu ada dalam kertas kerja yang anda akan hasilkan. Misalnya, bahagian sinopsis ialah ringkasan atau abstrak keseluruhan kertas kerja itu. Bahagian ini penting sebagai gambaran umum terhadap intisari utama kertas kerja. Lazimnya bahagian ini tidak melebihi 200 patah kata.

Bahagian pengenalan merupakan bahagian yang menerangkan latar belakang terhadap kandungan kertas kerja. Bahagian ini ditulis biasanya tidak melebihi 2 muka surat. Manakala bahagian isi pula merupakan bahagian yang sangat penting dalam sesuatu kertas kerja. Bahagian ini mengandungi huraian tajuk, keterangan, penjelasan dan sebagainya yang dipecahkan kepada beberapa bahagian atau tajuk kecil.

Akhir sekali ialah bahagian kesimpulan atau penutup yang merumuskan kandungan kertas kertas kerja. Saranan dan cadangan juga boleh dimasukkan dalam bahagian ini. Selain itu, kertas kerja juga mengandungi lampiran yang memuatkan bibiliografi, data-data, gambar rajah, glosari dan sebagainya.

vi. Mendapatkan maklumat penting yang berkaitan
Oleh sebab kertas kerja mengandungi banyak maklumat, dapatkan maklumat-maklumat awal yang berkaitan untuk dimasukkan dalam draf kertas kerja. Ini akan memudahkan anda menulis dan penulisan anda akan berjalan dengan lancar. Bagi kertas kerja seminar, buatlah rujukan kepustakaan atau berbincang dengan pakar manakala bagi kertas kerja projek anda perlu berhubung dengan pihak yang berkaiatan untuk mandapatkan maklumat tersebut.


b. Semasa Menulis
Setelah anda merangka kertas kerja dan mengumpulkan maklumat-maklumat awal yang diperlukan dalam kertas kerja itu, anda boleh mula menulis. Dari semasa ke semasa, anda perlu lakukan perkara berikut:

i. Sentiasa berbincang dengan pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan idea tambahan
Semasa menghasilkan sesuatu kertas kerja, khususnya kertas kerja projek anda perlu sentiasa berbincang dengan rakan-rakan atau pihak-pihak yang berkaitan supaya anda boleh mendapatkan idea tambahan. Dengan ini kertas kerja yang akan anda hasilkan itu benar-benar mengandungi maklumat yang lengkap. Anda juga boleh menambah atau menggugurkan bahagian-bahagian tertentu supaya kertas kerja itu lengkap, ringkas dan padat. Selain itu, susunan bahagian-bahagian tertentu dalam kertas kerja dapat dibuat dengan teratur dan kemas.


ii. Gunakan laras dan wacana yang betul
Konsep komunikasi tulisan perlu difahami oleh seseorang penulis kertas kerja. Penggunaan laras dan wacana yang betul akan menjadikan komunikasi lebih berkesan. Ini termasuk penggunaan istilah-istilah yang tepat, ayat yang gramatis, gaya bahasa yang sesuai, di samping keberkesanan kertas kerja sebagai sebuah wacana yang utuh perlu diberi perhatian. Tautan (kohesi) dan runtutan (koheren) yang terdapat dalam kertas kerja akan memudahkan pembaca mengikuti aliran pemikiran yang cuba disampaikan oleh penulis.

c. Selepas menulis
Selepas kertas kerja siap ditulis, pastikan usaha menyemak dilakukan dengan teliti. Dengan melakukan penyemakan anda dapat memperbaiki bahagian-bahagian yang mungkin terdapat kesilapan terutama dari segi ejaan dan tatabahasanya. Anda juga boleh memperkemas isi kandungan kertas kerja sebelum dikemukakan atau dibentangkan. Mintalah bantuan rakan-rakan atau pihak-pihak tertentu untuk membuat semakan. Setelah anda benar-benar berpuas hati, barulah kertas kerja itu dikemukakan untuk kelulusan atau dibentangkan. Buatlah salinan untuk simpanan anda.

Ahad, 17 April 2011

Nota Literasi BM - Postur badan

Kepentingan Postur Badan, Pegangan Pensel dan Kedudukan Kertas, Kerusi dan Meja

Postur Badan
Apa itu postur badan? Postur badan bermaksud kedudukan atau posisi badan murid semasa menulis. Sepatutnya murid-murid perlu menikmati keselesaan semasa menulis. Adalah menjadi tugas dan kewajipan guru untuk menunjukkan kepada murid-murid postur badan yang betul semasa menulis, cara pegangan pensel, kedudukan kertas, kerusi dan meja sebelum mereka mula menulis. Justeru, bimbinglah murid-murid supaya menulis berdasarkan ciri-ciri berikut, iaitu:

(a) Aktiviti menulis perlu dijalankan di atas meja. Terdapat dalam keadaan tertentu, seorang murid gemar untuk meniarap di atas lantai semasa menulis. Cara ini sebenarnya tidak betul dan jika diteruskan akan menyebabkan tulisan murid menjadi tidak cantik dan kemas. Kesan lain ialah berasa sakit pada bahagian bahu dan sendi lengan kerana terpaksa menampung berat badan semasa menulis.
(b) Letakkan tangan di atas meja semasa menulis. Tangan kanan dan kiri sebenarnya saling membantu antara satu sama lain semasa menulis. Jika tangan kanan memegang pensel dan tulis, maka tangan kiri pula akan memegang bahagian tertentu pada bahagian buku atau kertas yang digunakan.
(c) Kedudukan badan murid-murid perlu sedikit ke hadapan semasa menulis. Selain untuk keselesaan murid, cara ini juga membantu mereka memberikan tumpuan dan fokus kepada bahan yang ditulis.

Cara Memegang Pensel
Ada tiga cara memegang pensel yang betul, iaitu:
(a) Pastikan murid memegang pensel menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.
(b) Kemudian kedua-dua jari tersebut disokong pula dengan jari tengah.
(c) Jarak jari hendaklah lebih kurang 3 cm dari hujung mata pensel atau kertas yang digunakan.

Pentingnya Memegang Pensel yang Betul
(a) Tulisan menjadi cantik
Menurut Levine (1987), cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Kelemahan dalam motor halus menyebabkan kanak-kanak menghadapi kesukaran memegang pensel, memasang butang baju dan memasang manik. Kanak-kanak yang menghadapi dyspraxia motor halus menunjukkan kelemahan dalam koordinasi motor.

(b) Cengkaman pensel menjadi kuat
Masalah dyspraxia motor halus menyebabkan ketidaktentuan cengkaman pada alat tulis (Levine, 1987). Kanak-kanak ini tidak berupaya mengawal saraf ketika memegang dan menggerakkan pensel secara stabil. Kanak-kanak yang tidak menggunakan motor halus ketika menulis menyebabkan cengkaman pensel yang tidak kuat. Mereka sebenarnya menggunakan lengan dan pergelangan tangan dan bukannya jari untuk menulis.

(c) Elakkan kecederaan semasa menulis
Cengkaman yang terlalu kuat pada alat tulis dan jari yang terlalu dekat dengan mata pensel menimbulkan kesakitan kepada kanak-kanak. Mengikut Levine (1987), semua ini merupakan faktor yang menyumbang kepada pembentukan huruf yang kurang cantik.

(d) Penulisan menjadi lancar
Levine (1987) menegaskan cara kanak-kanak memegang pensel dengan cengkaman yang kurang kemas menyebabkan pergerakan pensel menjadi tidak licin (lancar).

(e) Minat untuk terus menulis
Kanak-kanak yang mempunyai masalah kinestetik biasanya mencengkam pensel secara kuat dengan meletakkan ibu jari di atas jari telunjuk dan jari hantu ketika memegang alat tulis. Kanak-kanak begini tidak gemar menulis kerana aktiviti ini menjadi pengalaman yang menyakitkan bagi mereka.

Kedudukan Kertas
(a) Jika menulis menggunakan tangan kanan, kedudukan kertas hendaklah disengetkan sedikit ke kiri sambil kedudukan tangan kiri memegang penjuru atas kiri.
(b) Bagi murid yang menulis menggunakan tangan kiri pula, kedudukan kertas hendaklah disengetkan sedikit ke kanan, manakala tangan kanan memegang penjuru atas kanan.

Keadaan Kerusi dan Meja
(a) Murid-murid perlu dilatih supaya memijak lantai semasa menulis. Kedua-dua belah kaki perlu sampai ke lantai dan bukannya tergantung. Jenis kerusi yang diduduki murid di dalam bilik darjah penting bukan sahaja dari aspek keselesaan tetapi juga peranannya semasa murid menulis.
(b) Sebaik-baiknya murid-murid yang bersaiz kecil seperti murid-murid Tahap Satu perlu dibekalkan kerusi rendah supaya kedua-dua belah kakinya mencecah lantai sewaktu menulis.